Pages

Saturday, June 4, 2011

'Kesal persia-siakan masa muda'




MEGAT SHAHRIZAT dan ibunya Hasiah Ibrahim berpelukan sebaik dia dibebaskan daripada Penjara Kajang, semalam.
MEGAT SHAHRIZAT dan ibunya Hasiah Ibrahim berpelukan sebaik dia dibebaskan daripada Penjara Kajang, semalam.


Pemuda akui 15 tahun meringkuk di penjara beri banyak pengajaran

KUALA LUMPUR: “Rasa macam baru lahir. Saya benar-benar menyesal atas kesalahan lalu. Masa muda saya hanya fikir untuk berseronok dan tidak pernah terlintas untuk fikir masa depan. Saya sangat takut dengan kehidupan dalam penjara, setiap masa saya mengira detik, saat dan waktu, apa dan bagaimana dengan masa depan saya kelak, saya benar-benar menyesal atas kesalahan lalu.”
Itu reaksi Megat Shahrizat Megat Shahrur, 33, yang dibebaskan semalam selepas menjalani hukuman penjara 15 tahun atas kesalahan menyebabkan kematian kanak-kanak perempuan berusia dua tahun pada 2001 kerana pihak pendakwaan gagal dalam rayuan kali ketiga bagi meyakinkan Mahkamah Persekutuan untuk meminda pertuduhan ke atasnya daripada membunuh tanpa niat kepada membunuh.
“Apa yang paling utama, selepas ini saya ingin membantu orang tua saya yang banyak bersusah-payah membantu mendapatkan keadilan serta memberi semangat untuk saya terus hidup.

“Sejak berada di dalam penjara, Tuhan memberi petunjuk dan pedoman kepada saya agar bertaubat dan lakukan suruhannya. Mungkin perkara pertama yang akan saya lakukan adalah untuk kembali menyambung pelajaran dalam bidang masakan bagi membantu ayah yang menjalankan perniagaan katering,” katanya sambil menitiskan air mata.

Tambahnya, dia dan keluarga juga bercadang untuk menunaikan ibadah umrah bersama ahli keluarganya dan melupakan terus segala sejarah silam yang memberi satu kenangan pahit buat dirinya dan keluarga.

Megat Shahrizat sempat menitipkan sedikit nasihat kepada remaja agar tidak mudah terjerumus ke dalam aktiviti yang tidak sihat hingga bertindak di luar kewarasan sekali gus melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.
Sementara itu, ibunya, Asiah Ibrahim, 62, berkata, “Saya sebagai ibu dia, saya kenal baik buruk dia, luar dalam dia, macam mana salah sekalipun dia tetap anak saya.

“Saya juga percaya Megat telah bertaubat. Melalui laporan yang saya terima daripada pegawai penjara, anak saya berjaya khatam al-Quran setiap tahun sepanjang dia dipenjara sejak Jun 2001. Apabila dengar berita itu saya dan suami bercadang nak bawa Megat menunaikan umrah agar dia boleh lupakan apa yang terjadi,” katanya.

Tambahnya, dia bersyukur kerana anaknya terlepas daripada tali gantung dan dia berharap agar masyarakat dapat menerimanya kembali kerana anaknya itu sudah menerima hukuman setimpal.

Selain ibunya, turut menyambut kepulangan Megat dari penjara semalam ialah abangnya Megat Suhairi, 37 dan kakaknya Wan Suhaila, 38.

Megat Shahrizat pada Jun 2001 dituduh menyebabkan kematian anak teman wanitanya Nur Izzatul Shahira Rozilan di Kondominium Sri Suajaya, Jalan Kampung Bandar Dalam, Sentul, di sini antara jam 10.45 malam 3 Jun 2001 hingga 1.30 pagi keesokannya.Berita Harian Online | 'Kesal persia masa muda'

No comments: