Pages

Wednesday, May 25, 2011

Tripoli dihujani bedilan jet NATO


KEPULAN asap hitam naik ke udara di sekitar kediaman Muammar Gaddafi di Tripoli berikutan lebih 12 letupan kuat kedengaran di ibu negara Libya itu awal hari ini. - Foto REUTERS



TRIPOLI - Jet-jet Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) melancarkan lebih 20 serangan udara ke atas ibu negara Libya semalam dalam pengeboman paling sengit terhadap kubu pemimpin Libya, Muammar Gaddafi di sini. Serangan itu dilancarkan ketika seorang diplomat kanan Amerika Syarikat (AS) menyatakan Presiden Barack Obama mengundang kepimpinan pemberontak iaitu Majlis Peralihan Nasional membuka pejabatnya di Washington.
NATO meningkatkan serangan udara dan usaha diplomatik terhadap rejim Gaddafi bagi memecah kebuntuan perang di Libya dengan pemberontak menawan timur negara itu manakala Gaddafi masih menguasai barat Libya. Serangan-serangan NATO itu berterusan dalam tempoh setengah jam dan menyebabkan banyak letupan dan asap tebal di kawasan kediaman Gaddafi di Bab Al-Aziziah, pusat bandar ini. Jurucakap pemerintah, Moussa Ibrahim berkata, sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh manakala puluhan yang lain cedera selepas serangan udara NATO mengenai bangunan-bangunan yang digunakan oleh unit sukarelawan tentera Libya.
NATO menyatakan dalam satu kenyataan bahawa sejumlah senjata panduan tepat mengenai tempat simpanan kenderaan bersebelahan Bab Al-Aziziah yang digunakan oleh tentera Gaddafi untuk menyerang orang awam. "Kami menganggap seolah-olah seperti kiamat telah berlaku," kata seorang penduduk tempatan Fathallah Salem, 45, berhubung serangan udara tersebut.
NATO menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya pada pertengahan Mac lalu bagi melindungi orang awam daripada serangan tentera Gaddafi. Kebangkitan menentang pemimpin Libya itu bermula pada Februari lalu selepas rakyat menuntut pembaharuan ekonomi dan demokrasi di negara Afrika Utara tersebut. - AP
Kosmo! Online - Dunia

No comments: