Pages

Wednesday, May 25, 2011

Jet NATO bom kota Tripoli



MAYAT orang awam Libya yang didakwa mangsa serangan bom tentera Barat di sebuah hospital Tripoli, semalam.
MAYAT orang awam Libya yang didakwa mangsa serangan bom tentera Barat di sebuah hospital Tripoli, semalam.

Blok tentera Barat perhebat serangan untuk guling Muammar Gaddafi

TRIPOLI: Pesawat tempur Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengebom ibu kota Libya, Tripoli, semalam dengan memperhebat serangan udara selepas Amerika Syarikat menegaskan pemimpin negara itu, Muammar Gaddafi mesti melepaskan kuasanya.
Sekurang-kurangnya 20 letupan kuat menggegarkan ibu negara itu awal pagi. Jurucakap kerajaan, Mussa Ibrahim, berkata tiga orang terbunuh dan 150 cedera.
Beliau berkata, serangan disasarkan terhadap ibu pejabat Pengawal Popular, pangkalan pusat tentera. Bagaimanapun, penghuninya sudah keluar sebelum serangan dan yang menjadi mangsa adalah penduduk tempatan.

“Ini adalah satu lagi malam pengeboman dan pembunuhan oleh NATO,” kata Mussa kepada wartawan.

NATO yang menyokong pemberontak anti-Gaddafi dengan serangan udara sejak dua bulan lalu dalam satu kenyataan berkata, mereka menyasarkan kemudahan simpanan kenderaan berdekatan dengan perkarangan kerajaan utama di Tripoli.

“Kawasan kemudahan itu dikenali tempat aktif semasa penindasan terhadap rakyat pada Februari 2011 dan masih kekal seperti itu, membekalkan pasukan rejim untuk melaksanakan serangan terhadap orang awam,” katanya.
Diketuai Perancis, Britain dan Amerika Syarikat, pesawat perang NATO mengebom Libya sejak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan perintah menggunakan sebarang bentuk pendekatan untuk melindungi orang awam daripada serangan tentera Gaddafi dalam perang saudara di negara itu.

Pengkritik menuduh NATO melampaui mandat dan cuba secara langsung untuk menjatuhkan Gaddafi. Pemberontak, bagaimanapun, mengadu NATO tidak melakukan perkara sepatutnya untuk menghancurkan tentera Gaddafi.

“Kami sudah halang mesin perang beliau dan menghalang kemusnahan manusia,” kata Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan Perdana Menteri British, David Cameron yang menulis dalam akhbar The Times.

“Kami akan terus tegakkan resolusi PBB dengan sekutu sehingga sasaran mereka benar-benar dipenuhi.” – Reuters Berita Harian Online | Jet NATO bom kota Tripoli

No comments: