Pages

Wednesday, April 13, 2011

PM Mesir arah siasat Mubarak

KAHERAH 12 April - Perdana Menteri Mesir, Essam Sharaf memberi jaminan tindakan undang-undang tetap akan diambil ke atas bekas Presiden Hosni Mubarak, walaupun pemimpin itu menafikan beliau dan keluarganya terlibat dengan rasuah.
Beliau mengulas kenyataan Mubarak kelmarin yang menafikan beliau menggunakan kuasa dan kedudukan untuk mengumpul kekayaan dan aset sepanjang memerintah Mesir selama tiga dekad.
Dalam satu kenyataan yang dirakam dalam satu pita audio, Mubarak, 82, turut bersetuju 'memberi kebenaran' kepada sesiapa untuk menyiasat hartanya berjanji akan menyaman mana-mana pihak yang cuba mencemarkan reputasinya.
Pendakwa raya awam Mesir, semalam mengarahkan bekas Setiausaha Agung parti pemerintah, Parti Demokratik Kebangsaan (NDP), Safwat Sherif ditahan selama 15 hari bagi soal siasat melibatkan rasuah.
Turut ditahan ialah bekas Speaker Dewan Rendah Parlimen, Fathi Sorour yang akan disoal siasat, esok atas dakwaan mengumpulkan harta secara haram.
Sherif dan Sorour merupakan orang kanan parti itu, pimpinan Mubarak yang juga pembantu rapatnya.
Sementara itu, Essam turut menyuarakan kekesalan atas tindakan kekerasan kerajaan terhadap penunjuk perasaan di sini pada hujung minggu lalu.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan Kementerian Kehakiman menyiasat kejadian tersebut.
"Semua pihak termasuk rakyat, tentera dan kerajaan kesal dengan insiden yang meragut dua nyawa pada Sabtu lalu," katanya dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen.
Kumpulan hak asasi kemanusiaan menuduh tentera menggunakan kekerasan semasa cuba menyuraikan penunjuk perasaan pada awal pagi Sabtu lalu, beberapa jam selepas beratus-ratus ribu rakyat melancarkan protes di Dataran Tahrir, di sini.
Sumber perubatan melaporkan, 13 penunjuk perasaan cedera terkena tembakan, sementara dua yang lain maut ketika kejadian.
"Rakyat mahu tahu apa yang berlaku dan bagi mengetahui kebenarannya, saya akan meminta Kementerian Kehakiman mengambil langkah perlu untuk memastikan tuntutan rakyat itu dipenuhi," katanya. - Reuters

No comments: