Pages

Wednesday, April 13, 2011

Bapa Francesca Peter ditemui mati di rumahnya

DUNGUN 12 April - Bapa kepada penyanyi popular era 90-an, Francesca Peter iaitu Lucian Gaberial Peter, 78, ditemui mati di rumahnya di Taman Seri Dungun, di sini, malam tadi.
Lucian atau nama Islamnya, Muhamad Gaberial Peter Abdullah (gambar) ditemui jirannya, Rajasegaran, 31, dalam keadaan tertiarap di dalam rumah pukul 10.30 malam sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dungun.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ismail Abdullah ketika dihubungi hari ini mengesahkan bahawa Muhamad Gaberial adalah bapa kepada penyanyi itu.
Tambahnya, hasil siasatan mendapati, kematian dipercayai berpunca daripada penyakit asma yang dihidapi Muhamad Gaberial.
Jenazah Muhamad Gaberial kemudian dihantar ke Hospital Dungun untuk dibedah siasat.
Dalam pada itu, Francesca ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Dungun bersama dua lagi adiknya iaitu Bibyana Peter dan John Joseph Peter enggan mengulas lanjut mengenai kematian bapa mereka.
"Saya tak nak komen. Kalau boleh jangan ambil gambar, kerana saya sedang bersedih," katanya yang berada hampir sejam sebelum meninggalkan pekarangan bilik mayat itu bersama dua adiknya dengan sebuah kereta.
Difahamkan, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai wartawan akhbar New Straits Times(NST) sekitar 70-an dan telah menetap di Dungun sejak 10 tahun lalu.
Turut difahamkan, Allahyarham pernah tinggal di Kota Bharu, Kelantan sebelum berpindah ke Terengganu dan menetap di Dungun sehingga akhir hayatnya.
Sementara itu, Pegawai Agama Daerah Dungun, Adnan Mohamad ketika dihubungi mengesahkan bahawa Allahyarham telah memeluk Islam pada 2007 di Kelantan.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sura Tengah di sini kira-kira pukul 2.30 petang.

No comments: