Pages

Wednesday, April 13, 2011

Bencana tahap Tujuh



KANAK-kanak tadika berlindung di bawah meja masing-masing di sekolah mereka ketika satu lagi gempa bumi melanda di Onagawa, Miyagi, semalam. - AFP


TOKYO 12 April - Jepun meningkatkan tahap bencana nuklear ke tahap tertinggi hari ini, meletakkannya pada kedudukan sama dengan insiden nuklear terburuk dunia di Chernobyl, selepas satu lagi gempa bumi melanda timur negara ini, semalam.
Jurutera gagal membaiki sistem penyejuk reaktor yang penting di loji tenaga nuklear Fukushima bagi menurunkan suhu rod yang panas, menunjukkan usaha mengawal kerosakan masih gagal, walaupun kebakaran di bangunan itu berjaya dipadamkan.
Rating kemalangan di loji nuklear Fukushima Daiichi ditingkatkan daripada tahap lima kepada tahap tujuh yang merupakan tahap paling buruk mengikut skala antarabangsa.
Jepun menyatakan tahap terbaru itu menggambarkan keadaan teruk pada permulaan krisis itu dan bukan situasi terkini.
''Ini adalah penilaian awal dan keputusan muktamad akan dibuat oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA),'' kata seorang pegawai Agensi Keselamatan Industri dan Nuklear (NISA) yang membuat pengumuman bersama Suruhanjaya Keselamatan Nuklear.
Pakar industri nuklear, Murray Jennex yang merupakan seorang profesor madya di Universiti San Diego, California menyangkal perbandingan berkenaan.
''Ia tidak menghampiri tahap itu. Kejadian Chernobyl sangat teruk, ia meletup dan mereka tidak dapat membendung penyebaran nuklear. Mereka (Jepun) berjaya mengawal keadaan dan hanya kolam tenaga sahaja yang terbakar,'' katanya.
Kejadian Tahap Tujuh menunjukkan pembebasan radiasi yang memberi kesan kepada kesihatan dan alam sekitar, manakala Tahap Lima yang kini diklasifikasikan di Fukushima melibatkan pembebasan bahan radioaktif terhad dengan beberapa kematian akibat radiasi, menurut IAEA.
Berita mengenai kebakaran di loji tenaga nuklear Fukushima dilaporkan berlaku hanya beberapa minit selepas gempa bumi sekuat 6.3 pada skala Richter melanda di perairan Chiba, 77 kilometer dari Tokyo.
NISA berkata, gempa bumi semalam yang mengakibatkan tiga maut dan menyebabkan bekalan elektrik ke 220,000 buah rumah terputus, tidak merosakkan loji tenaga nuklear tersebut.
Beberapa ratus gempa bumi susulan berlaku sejak 11 Mac lalu apabila gempa bumi sekuat 9 pada skala Richter melanda timur laut Jepun diikuti tsunami setinggi 10 meter. - Reuters

No comments: