Pages

Thursday, April 21, 2011

Penduduk Misrata semakin terdesak





PENDUDUK yang kekurangan bekalan makanan melihat roti melalui cermin sebuah kedai di Misrata.
PENDUDUK yang kekurangan bekalan makanan melihat roti melalui cermin sebuah kedai di Misrata.

Pemimpin pemberontak rayu Barat hantar tentera 


MISRATA, Libya: Pemimpin kumpulan pemberontak membuat rayuan semalam agar negara Barat segera menghantar tentera ke bandar ketiga terbesar Libya itu bagi menyelamatkan penduduknya yang semakin terdesak dengan kekurangan bekalan makanan, bahan api dan ubat.
Penduduk di bahagian selatan bandar pelabuhan itu yang dikuasai tentera Muammar Gaddafi terpaksa mencuri keluar menerusi lorong kecil untuk mencari bekalan makanan dan bahan api.
Ramai wanita dan kanak-kanak dilihat dirawat di hospital akibat kecederaan daripada letupan roket dan bom kluster yang ditembak oleh tentera Gaddafi. 


Berhampiran kawasan pelabuhan, buruh dari negara Afrika seperti Niger dan Chad berlindung di dalam khemah, menunggu kapal berlabuh untuk membawa mereka keluar dari negara bergolak sejak tujuh minggu lalu itu. 


Misrata menjadi rebutan di antara tentera Gaddafi dan kumpulan pemberontak yang mendapat bantuan serangan udara negara Barat berikutan ia adalah pusat komersial dan aktiviti pemborongan bagi Libya. 


Ia mempunyai banyak gudang besar yang digunakan untuk menyimpan bekalan makanan dan barang import yang dibawa masuk oleh kapal dagang. 
Namun gudang itu sekarang hampir kosong. 


Bahan api untuk menjana bekalan elektrik turut semakin berkurangan. 


“Kami sekarang menjana kurang daripada 20 peratus bekalan elektrik sebelum pertempuran bermula,” kata Saleh Siwy, ketua unit kejuruteraan majlis perbandaran Misrata. 


Kebanyakan bekalan elektrik yang dijana disalurkan ke tiga hospital yang masih beroperasi, namun Siwy enggan mendedahkan dari mana bekalan itu dijana. 


“Jika Gaddafi tahu di mana kami jana elektrik, beliau akan segera mengebomnya,” kata beliau. 


Sementara itu, ketua badan hak asasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Navi Pillay membidas kerajaan Libya kerana menggunakan bom kluster terhadap kawasan awam di Misrata. 


Beliau berkata serangan sedemikian mengundang dakwaan di mahkamah jenayah antarabangsa. 


Dalam satu kenyataan, Pillay berkata salah satu daripada bom kluster itu dijatuhkan dan meletup beberapa ratus meter dari sebuah hospital, manakala dua klinik lain diserang mortar dan tembakan. – AFP 

No comments: