Beribu-ribu rumah, sekolah, masjid dinaiki air kerana sungai melimpah
PENDUDUK meredah banjir yang melanda selepas hujan lebat.
MEDAN: Beribu-ribu buah rumah, sekolah dan pusat kesihatan masyarakat dan masjid di sembilan kawasan di Medan, Sumatera Utara ditenggelami air selepas dilanda banjir kilat semalam.Paras air yang naik secara mendadak menyebabkan ratusan ribu penduduk yang tidak bersedia terpaksa melarikan diri ke tempat lebih tinggi, pusat perlindungan sementara dan kawasan tidak terjejas banjir, sebilangan besar mereka hanya sehelai sepinggang. Namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Gabenor Sumatera Utara, Gatot Pujonugroho yang dipetik laman web Seputar Indonesia, berkata, kawasan yang ditenggelami air termasuk Medan Tuntungan, Selayang, Medan Polonia, Baru, Medan Petisah, Medan Johor, Medan Barat, Medan Helvetia dan Medan Maimun.
“Banjir kilat kali ini adalah yang paling buruk pernah berlaku berbanding banjir kilat pada 2001 dan 2006. Beberapa batang jalan utama di kota Medan termasuk Jalan Diponegoro, Jalan Sudirman dan Jalan Wali Kota masih ditenggelami air hingga ke paras pinggang,” katanya yang menambah, kediaman rasmi dan pejabat Gabenor Sumatera Utara turut ditenggelami air.
Gatot berkata, banjir berpunca daripada air di dua sungai utama di Medan Sungai Babura dan Sungai Deli melimpahi tebing berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
“Medan juga mengalami perubahan cuaca mendadak apabila pusaran angin berkumpul di wilayah Sumatera Utara, menyebabkan hujan lebat dan banjir yang diramal berterusan hingga Mei,” katanya.
Beliau, bagaimanapun berkata, operasi di lapangan terbang utama di Medan tidak terjejas dan masih berfungsi seperti biasa.
Ketua Jabatan Meteorologi, Iklim dan Geofizik Indonesia Albertus Kusbagio berkata pihaknya meramalkan keadaan cuaca tidak menentu di wilayah Sumatera Utara dan kemungkinan banjir berulang semula dalam tempoh terdekat.
“Pusaran angin yang berhimpun di Sumatera Utara, mendorong pembentukan awan tebal yang membawa hujan lebat. Pada masa sama sungai di sekitar Medan tidak mampu menampung jumlah air yang terlalu banyak ketika hujan lebat, juga menjadi punca banjir kilat,” katanya.
Sementara itu, di Papua, banjir kilat yang melanda wilayah Paniai, Ekadiede dan Agadide Paniai di timur, menyebabkan sekurang-kurangnya 13 orang terkorban, manakala lebih 100,000 penduduk terpaksa dipindahkan. – Agensi
No comments:
Post a Comment