Pages

Sunday, April 3, 2011

21 maut protes bakar Al-Quran di Afghanistan




PENDUDUK mengangkat seorang lelaki yang cedera dalam serangan ke atas pejabat PBB semasa tunjuk perasaan membantah tindakan seorang paderi Amerika Syarikat yang membakar Al-Quran, di Mazar-i- Sharif, utara Kabul, Afghanistan, kelmarin. - AP


MAZAR-I-SHARIF 2 April - Kira-kira 21 orang terbunuh di beberapa bandar di Afghanistan ketika demonstrasi bantahan semakin memuncak terhadap insiden pembakaran Al-Quran oleh seorang paderi Kristian di Amerika Syarikat (AS) sejak semalam.
Sembilan penunjuk perasaan maut dan 32 lagi cedera ketika kira-kira 2,000 penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi di Kandahar.
Pada 21 Mac lalu, paderi Wayne Sapp dan paderi kontroversi Terry Jones membakar Al-Quran sebagai 'hukuman' apabila kitab suci itu 'disabit kesalahan' atas pertuduhan jenayah selepas satu 'perbicaraan' diadakan di sebuah gereja di Gainesville, Florida.
Seorang wartawan AFP berkata, demonstrasi itu kini merebak ke beberapa lokasi di bandar berkenaan selain bunyi tembakan dapat didengari.
Terdahulu, sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh apabila sekumpulan penunjuk perasaan bersenjata menyerbu kawasan milik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Afghanistan ekoran bantahan pembakaran Al-Quran di Amerika Syarikat (AS) semalam.
Pegawai PBB di New York berkata, pada awalnya sekurang-kurangnya 20 kakitangan badan dunia itu dilaporkan terbunuh.
Bagaimanapun, ketua pengaman PBB, Alan Le Roy berkata, hanya tujuh kakitangan mereka terbunuh.
Pegawai PBB berkata, jumlah awal tersebut termasuk penunjuk perasaan Afghanistan yang membantah pembakaran Al-Quran.
Empat pengawal warga Nepal di kawasan PBB di bandar Mazar-i-Sharif berkenaan terbunuh ketika cuba mempertahankan tiga kakitangan daripada penunjuk perasaan.
Misi pengaman PBB Norway dalam laman Twitter berkata, Leftenan Kolonel Siri Skare, 53, dari negara itu merupakan antara yang terbunuh.
Kumpulan militan, Taliban mendakwa bertanggungjawab di atas kejadian itu yang menyaksikan sebahagian daripada bangunan di kawasan berkenaan musnah dalam kebakaran.
Le Roy berkata, badan dunia itu kini mengundurkan kakitangan mereka dari Mazar-i-Sharif buat sementara dan menilai situasi keselamatan di Afghanistan. - AFP/Reuters
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: