Pages

Sunday, April 3, 2011

5 maut bantah al-Quran dibakar


Tujuh kakitangan asing PBB turut terbunuh diserang penunjuk perasaan


KANDAHAR: Lima orang terbunuh dalam tunjuk perasaan ganas di sini semalam membantah tindakan membakar naskhah al-Quran oleh seorang paderi Amerika Syarikat, sehari selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengalami serangan terburuk terhadap kehadirannya di Afghanistan yang membunuh tujuh kakitangan asingnya.
Taliban semalam menegaskan kumpulan itu tidak terbabit dalam serangan terhadap pejabat PBB di bandar utara Mazar-i-Sharif itu kelmarin.
“Kumpulan kami tidak terbabit dalam serangan ini tetapi ia adalah tindakan oleh orang Islam yang bertanggung jawab,” kata jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid yang bercakap menerusi telefon dari lokasi yang tidak didedahkan.

“Orang asing membawa padah ini terhadap diri mereka kerana membakar naskhah al-Quran.”

Beribu-ribu penunjuk perasaan membanjiri jalan raya di Mazar-i-Sharif, utara Afghanistan selepas solat Jumaat kelmarin dan berarak ke pejabat PBB.
Mereka membakar sebahagian daripada bangunan pejabat itu dan memanjat temboknya untuk merobohkan menara pengawal.
Leher mangsa asing yang maut dikelar, kata PBB dalam satu kenyataan.
Empat pengawal dari Nepal maut ketika cuba menghalang penunjuk perasaan menyerang pejabat PBB itu, manakala seorang masing-masing warga Norway, Sweden dan Romania juga terbunuh.

Seramai lima penunjuk perasaan turut terbunuh, manakala ramai lagi cedera ketika cuba merampas senjata daripada pengawal PBB.

“Adalah menjadi hak kami untuk membuat demonstrasi kerana mereka membakar al-Quran tetapi saya tidak hadir untuk membunuh orang,” kata seorang penunjuk perasaan Habeebullah, 20 yang cedera di kaki.

Penunjuk perasaan itu meletus berikutan tindakan seorang paderi membakar beberapa naskhah al-Quran di sebuah gereja di Florida.

Sementara itu di Kandahar, lima orang terbunuh semalam dalam demonstrasi berterusan membantah pembakaran al-Quran.

Tunjuk perasaan itu bermula di tengah-tengah bandar selatan ini sebelum merebak ke lokasi lain dengan berlaku pertempuran dengan pasukan polis.

Selain yang maut 45 orang turut cedera apabila penunjuk perasaan dari pinggir bandar memasuki pusat bandar. – AFP
Berita Harian Online | 5 maut bantah al-Quran dibakar

No comments: