Pages

Friday, March 25, 2011

Tunisia bekukan aset keluarga Gaddafi

TUNIS: Jiran Libya, Tunisia, membekukan semua aset milik Muammar Gaddafi dan keluarganya semalam, menjadikan negara itu kerajaan terbaru bertindak begitu selepas Barat.
Sumber di Tunisia memberitahu, selain Gaddafi, lima lagi ahli keluarganya turut terbabit dalam pembekuan aset berkenaan.

“Tindakan ini diambil selaras dengan keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.

Selain Tunisia, Amerika Syarikat serta negara anggota Kesatuan Eropah lebih awal mengambil tindakan sama kerana tidak bersetuju dengan pendekatan Gaddafi menangani krisis kebangkitan rakyat di dalam negaranya.

Pembekuan aset oleh Tunisia dijangka memberi kesan besar kepada Libya.

Tripoli memang memiliki banyak kepentingan pelaburan di negara berkenaan, termasuk dalam sektor perhotelan, rangkaian stesen minyak dan terminal petroleum.

Walaupun pada zahirnya kebanyakan aset itu dimiliki firma pelaburan Libya, pihak yang mendapat manfaat sebenar adalah anggota keluarga Gaddafi. Golongan elit Libya turut menjadikan Tunisia sebagai pusat perbankan, percutian dan rawatan kesihatan sejak 1980-an selepas negara itu dikenakan sekatan antarabangsa. - Reuters

No comments: