Pages

Friday, March 25, 2011

Tripoli diserang tentera Barat




STESEN televisyen Sky News semalam menunjukkan kemusnahan akibat serangan tentera Barat di Tripoli, Libya.


TRIPOLI - Beberapa letupan dan tembakan antipesawat menggegarkan bandar ini semalam semasa tentera Barat melakukan serangan pada hari keenam.
Serangan itu dibuat selepas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi muncul bagi menunjukkan beliau masih hidup walaupun tentera Barat diketuai Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis melancarkan serangan pada Sabtu lalu.
Serangan itu dibuat bagi menguatkuasakan zon larangan terbang yang telah diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada minggu lalu.
Zon larangan terbang itu dikuatkuasakan bagi menghalang tentera Gaddafi melakukan serangan ke atas penduduk awam.
Namun, pemerintah Libya mendakwa serangan tentera Barat itu mengakibatkan 18 askar dan penduduk awam terbunuh.
Menurut tentera AS semalam, tentera bersekutu Barat telah melepaskan 14 tembakan peluru berpandu Tomahawk ke atas pasukan keselamatan Gaddafi semalaman.
Seorang jurucakap Pusat Pemerintah AS di Afrika di Jerman menyatakan, negara-negara yang menyertai serangan itu turut menggugurkan bom-bom di beberapa sasaran di Libya.
Stesen televisyen ABC menerusi rangkaian beritanya melaporkan semalam bahawa sebuah jet pejuang Perancis menembak jatuh sebuah pesawat perang Libya di bandar Misrata.
Pesawat terbang itu didakwa melanggar arahan zon larangan terbang yang dikuatkuasakan oleh PBB.
Sejak tentera bersekutu yang diketuai AS mula melancarkan penguatkuasaan zon larangan terbang di Libya pada minggu lalu, lebih 175 peluru berpandu Tomahawak dibedil di Libya.

SEORANG pekerja hospital memeriksa sejumlah mayat askar dan penduduk awam yang terbunuh akibat serangan tentera Barat di Tripoli semalam.


Dalam perkembangan yang berkaitan, Britain mendakwa tentera udara Libya hampir lumpuh ekoran serangan yang dilakukan oleh tentera Barat.
Beberapa serangan udara telah menyebabkan beberapa buah kereta kebal tentera Libya musnah di pinggir bandar Misrata.
Namun, seorang penduduk berkata, sejumlah kereta kebal di dalam bandar Misrata tidak musnah akibat serangan.
Sementara itu, pihak pemberontak yang menentang kepimpinan Gaddafi kini sedang berunding dengan pihak pemerintah di bandar Ajdabiya supaya tentera pemerintah dibenarkan meninggalkan bandar tersebut.
Bagaimanapun, syarat yang dikenakan adalah anggota tentera Gaddafi itu perlu menyerahkan senjata kepada pihak pemberontak.
Menurut laman web pemberontak, terdapat krisis kemanusiaan di Ajdabiya selepas beberapa hari bandar itu dibedil oleh tentera Gaddafi.
Sebuah hospital dan sejumlah rumah di bandar berkenaan menjadi sasaran serangan tentera Gaddafi.
Bagaimanapun, kebanyakan penduduk telah bertindak meninggalkan bandar tersebut.
Pergolakan di Libya bermula pada 15 Februari lalu apabila para penunjuk perasaan berhimpun di bandar Benghazi membantah penahanan aktivis hak asasi manusia, Fethi Tarbel.
Tunjuk perasaan menentang pemerintah itu kemudian bertukar menjadi peperangan menentang kepimpinan Gaddafi yang sudah memerintah selama empat dekad.
Para penunujuk perasaan yang sebahagiannya menjadi pemberontak kemudian menuntut Gaddafi supaya meletakkan jawatan. - Agensi
kosmo

No comments: