Pages

Friday, March 25, 2011

Tentera Amerika dipenjara 24 tahun



TACOMA Washington 24 Mac - Seorang daripada lima orang tentera Amerika Syarikat (AS) yang mula dibicarakan atas dakwaan membunuh lima orang awam Afghanistan yag tidak bersenjata pada tahun lalu dijatuhkan hukuman penjara 24 tahun selepas mengaku bersalah atas ketiga-tiga pembunuhan terancang itu.
Akuan bersalah dan hukuman yang dijatuhkan ke atas Jeremy Morlock, 23, dari Wasilla, Alaska itu menanda satu titik perubahan dalam satu tuduhan paling serius yang dilakukan oleh tentera AS dalam tempoh 10 tahun peperangan di Afghanistan.
Majalah German, Der Spiegel minggu ini menyiarkan beberapa gambar berkaitan pembunuhan itu dan salah satu gambar menunjukkan Morlock membongkok dan tersenyum lebar di sisi mayat yang berdarah sambil mengangkat kepala mangsa itu.
Hakim ketenteraan yang mengetuai kes itu, Leftenan Colonel Kwasi Hawk, menerima pengakuan bersalah Morlock di Kem Bersama Lewis-McChord berdekatan Tacoma dan menjatuhkan hukuman penjara selama 24 tahun ke atas Morlock.
Hakim turut mengarahkan tempoh hukuman penjara ke atasnya dikurangkan hampir setahun setelah mengambil kira tempoh dia ditahan sejak menghadapi tuduhan itu selain layak untuk parol dalam tempoh tujuh tahun.
Morlock yang turut dilucutkan jawatan dalam tentera dalam keadaan mengaibkan berdiri senyap ketika hakim mengumumkan hukuman ke atasnya dan tidak menunjukkan sebarang reaksi berhubung hukuman tersebut.
Di awal perbicaraan, dia telah membaca kenyataan meminta maaf kepada keluarga mangsa terbabit dan rakyat Afghanistan dengan menyatakan dia hilang pedoman.
Dalam akuan bersumpahnya ketika perbicaraan, Morlock mengaitkan empat orang lagi tentera daripada unit infantrinya yang digelar 'pasukan membunuh' dan bersetuju untuk memberi keterangan terhadap mereka jika dipanggil untuk menjadi saksi apabila kes mereka dibicarakan di mahkamah tentera nanti. - Reuters

No comments: