Pages

Friday, March 25, 2011

Mubarak didakwa bunuh penunjuk perasaan

Panel siasat insiden ganas juga dakwa mantan menteri dalam negeri dengan tuduhan sama
KAHIRAH: Satu jawatankuasa Mesir yang dibentuk untuk menyiasat kejadian ganas semasa tunjuk-tunjuk perasaan yang menggulingkan Encik Hosni Mubarak telah mengenakan tuduhan membunuh ke atasnya.
Mantan presiden itu didakwa membunuh penentang-penentangnya, menurut satu akhbar negara itu.Jawatankuasa itu juga telah mengemukakan dakwaan ke atas mantan menteri dalam negeri atas kesalahan mengarahkan polis supaya melepaskan tembakan ke arah para penunjuk perasaan, kata akhbar Al Ahram kelmarin.Pendakwa raya merujuk mantan menteri dalam negeri, Encik Habib al-Adli, dan empat lagi pegawai kanan berpangkat tinggi untuk dibicarakan atas tuduhan membunuh penunjuk perasaan, mengganggu kestabilan dan menyebabkan 'kacau-bilau dalam negara' hingga menjejas ekonomi Mesir, kata satu kenyataan.Lebih 360 orang terbunuh dalam pemberontakan itu dan beribu-ribu yang lain cedera apabila polis melepaskan tembakan peluru getah, peluru hidup, meriam air dan gas pemedih mata untuk menyuraikan para penunjuk perasaan yang membantah secara aman itu.Jawatankuasa pencarian fakta telah menyerahkan hasil penyiasatan mereka kepada pejabat pendakwa raya sambil menyatakan bahawa Encik Mubarak, sebagai ketua pemerintah ketika itu, bertanggungjawab atas jenayah yang telah menyebabkan kematian para penunjuk perasaan tersebut.Mantan menteri dalam negeri itu pula didakwa bertanggungjawab mengundurkan anggota-anggota polis dari jalanjalan raya selepas 28 Januari apabila perusuh bertempur secara ganas dengan pasukan keselamatan dan pasukan tentera dikerahkan supaya campur tangan.Ramai warga Mesir mempersoalkan mengapa polis, malah polis trafik, tidak kelihatan ketika itu.Ada yang menuduh Encik Adli sengaja mengundurkan pasukan keselamatan kerana mahu mencetuskan huru-hara dan keadaan tanpa kawalan keselamatan.Berpuluh-puluh bangunan penjara di sekitar negara itu pula telah dipecah masuk.Media bebas Mesir berkata Encik Adli telah mengarahkan para pegawai agar tidak mengawal penjara-penjara seperti biasa.Malah, ada yang menuduh mantan menteri dalam negeri itu sengaja membiarkan para penjenayah melarikan diri.Rakyat Mesir mengadu tiada seorang pun anggota pasukan keselamatan mengawal keadaan selama sebulan.Akibatnya mereka 'diancam' penjenayah-penjenayah yang melakukan pencurian, serangan bersenjata ke atas rakyat dan harta benda, malah memecah masuk beberapa sekolah.Encik Adli sudah pun menghadapi perbicaraan atas tuduhan membazirkan wang rakyat dan melaburkan wang secara haram. -- Reuters.

No comments: