Pages

Friday, March 25, 2011

Radiasi makin tersebar jauh





2011/03/25

PIHAK berkuasa membekalkan air mineral selepas radiasi dikesan dalam air  di Tokyo yang membahayakan kanak-kanak. - Foto AP
PIHAK berkuasa membekalkan air mineral selepas radiasi dikesan dalam air di Tokyo yang membahayakan kanak-kanak. - Foto AP
Radioaktif dikesan kota sebelah Tokyo, tiga lagi bandar AS dan Iceland

TOKYO: Ancaman bahan radioaktif berpunca daripada pelepasan radiasi di loji nuklear Fukushima semakin naik selepas tahapnya meningkat di Saitama, bandar bersebelahan Tokyo selain dikesan di beberapa negeri Amerika Syarikat dan juga Eropah. 

Di Saitama, tahap radiasi dikesan lebih tinggi dalam sistem pembersihan air di daerah Kawaguchi, dan tidak selamat untuk kanak-kanak.
Pihak berkuasa Kawaguchi mendapati tahap radiasi iodin radioaktif mencapai 120 becquerel, sedikit tinggi daripada paras selamat.
Kelmarin, iodin radioaktif di Tokyo mencapai 210 becquerel di sebuah loji pembersihan air menyebabkan pihak berkuasa menyarankan penduduk tidak memberi air paip untuk diminum kanak-kanak. 

Selain itu, pencemaran radiasi juga dikesan di tiga lagi negeri Amerika iaitu Colorado, Oregon dan Hawaii tetapi pihak berkuasa menegaskan ia dalam kadar yang kecil dan membahayakan keselamatan awam. 

Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) mendedahkan kehadiran radiasi itu tetapi menekankan kadarnya kecil dan terlalu rendah untuk memberi masalah. 

Di Oregon, radiasi iodin-131 juga dikesan agensi berkenaan manakala di Hawaii ia dikesan sehari sebelumnya. Radiasi itu dipercayai dari Fukushima. Sebelum ini, Washington dan California melaporkan pencemaran berkenaan. 
Di Vienna, radiasi juga dilaporkan sudah tiba di Iceland dan dijangka sampai ke Perancis dan negara Eropah lain tidak lama lagi. 

Pihak Berkuasa Keselamatan Iceland mengesahkan bahan radioaktif iodin-131 dikesan tetapi masih pada paras terlalu rendah. 

Loji nuklear Fukushima rosak dan melepaskan radiasi sejak dilanda gempa 9 skala Richter dan tsunami yang melanda selepas itu pada 11 Mac lalu. 

Usaha menyejukkan loji nukklear itu belum berjaya selepas diganggu letupan, kebakaran dan kebimbangan mengenai radiasi. 

Terbaru, tiga pekerja di loji itu terdedah kepada radiasi 180 millisievert dan dibawa ke hospital, kata Fumio Matsuda, jurucakap Agensi Keselamatan Industri dan Nuklear (NISA). 

Lebih 20 orang cedera dalam operasi untuk menyejukkan reaktor nuklear Fukushima. 
Laporan menyatakan, radiasi sudah menyerap masuk produk tenusu termasuk susu mentah, air laut dan 11 jenis sayur termasuk brokoli yang ditanam dekat lokasi berkenaan. 

Lebih 70,000 penduduk sudah dipindahkan dari kawasan 20 kilometer ke loji itu dan 130,000 berada di kawasan 10 kilometer lagi serta dinasihatkan tidak keluar rumah. – Agensi
bharian

No comments: