TRIPOLI: Kuasa Barat melancarkan gelombang kedua serangan udara terhadap Libya semalam selepas menyekat kemaraan tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi ke Banghazi.
Mereka mensasarkan sistem pertahanan udara untuk membolehkan pesawat mereka meronda ruang angkasa negara itu.
Campur tangan yang dibenarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk melindungi orang awam yang terperangkap dalam revolusi yang bermula bulan lalu untuk menentang pemerintahan 41 tahun Gaddafi diselar oleh ketua Liga Arab, Amr Mousa, yang mempersoalkan kewajaran pengeboman besar-besaran yang dikatakannya menyebabkan kematian ramai orang awam.
Bagaimanapun, Amerika Syarikat yang melakukan serangan udara itu bersama-sama dengan Britain, Perancis, Itali dan Kanada berkata, kempen itu berjaya mencapai matlamat dan menolak gencatan senjata yang diumumkan oleh tentera Libya petang semalam.
Kementerian Pertahanan Britain berkata, sebuah kapal selamnya sekali lagi melepaskan peluru berpandu Tomahawk awal semalam sebagai sebahagian daripada serangan gelombang kedua untuk menguatkuasakan ketetapan PBB “Kami dan rakan antarabangsa kami meneruskan operasi menyokong Ketetapan 1973 Majlis Keselamatan PBB,” menurut seorang jurucakap kementerian.
Serangan itu adalah yang terbesar terhadap sebuah negara Arab sejak pencerobohan ke atas Iraq pada 2003. Ketika ditanya mengenai kenyataan Amr, Setiausaha Rendah Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, Michele Flournov memberitahu BBC: “Saya berpendapat ada orang yang tidak faham mengenai dimensi tentera yang diperlukan untuk menguatkuasakan zon larangan terbang. Tetapi, saya boleh memberitahu anda, kami masih menerima mesej sokongan dan kenyataan yang menyokong tindakan kami daripada beberapa negara Arab.” Sementara itu, jurucakap kerajaan Perancis, Francois Baroin berkata, tidak ada maklumat yang diterima oleh markas pemerintahan tentera negara itu mengenai orang awam yang terbunuh. — AP
metro
No comments:
Post a Comment