Pages

Tuesday, March 22, 2011

4 negara cari formula demokrasi

Ketegangan berterusan di Syria, Yaman, Mesir serta Bahrain

SANAA: Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh memecat kerajaannya kelmarin di saat rakyatnya berhimpun untuk menyertai pengebumian 52 orang awam yang ditembak anggota keselamatan dan krisis terus meruncing apabila pemimpin kanan tertinggi tentera, Jeneral Ali Mohsen al-Ahmar meletakkan jawatan bagi menyertai penunjuk perasaan.

“Krisis ini bertambah rumit, membawa negara ke keganasan serta perang saudara. Kami umum menyokong dan melindungi belia yang memprotes di dataran universiti Sanaa,” kata Ahmar, komander tentera yang pernah bersahabat baik dengan Saleh.
Berikutan peletakan jawatan Ahmar, Saleh mengarahkan kereta kebal ditempatkan dan berkawal di luar istana presiden di Yaman. Kereta kebal turut ditempatkan di bank pusat dan Kementerian Pertahanan. Pentadbiran Saleh turut bergoncang apabila Duta Yaman ke Bangsa-Bangsa Bersatu, Abdullah Alsaidi dan Menteri Hak Asasi, Huda al Baan turut memprotes pembunuhan orang awam dan meletakkan jawatan.

Di DARAA, seorang maut dan lebih 100 cedera kelmarin apabila pasukan keselamatan Syria menembak penunjuk perasaan yang merusuh di sini, kata aktivis hak asasi pada hari ketiga pergolakan.

Seorang pegawai Syria menafikan laporan kematian dan menuduh ‘pengacau’ mencetuskan rusuhan ketika menteri kabinet, dikerah presiden melawat bandar ini untuk memberi penghormatan kepada dua penunjuk perasaan yang maut dalam keganasan Jumaat lalu.

Pasukan keselamatan disokong polis berpakaian preman melepaskan peluru hidup dan gas pemedih mata ke arah ‘lebih 10,000 penunjuk perasaan,’ kata seorang aktivis sambil menuduh ‘gas pemedih mata bercampur bahan toksik’ digunakan.
Di KAHERAH, pungutan suara di Mesir Sabtu lalu dianggap berjaya dengan parti Islam dijangka menang.
Sebanyak 77 peratus penduduk Mesir bersetuju dengan pindaan perlembagaan yang dicadangkan bertujuan memberi panduan kepada negara paling ramai penduduk dalam dunia Arab itu mengadakan pilihan raya parlimen dan presiden baru dalam masa enam bulan.

Pergerakan Ikhawanul Muslimin memberi sokongan dan menjadi pertubuhan utama di belakang undian ‘ya’ walaupun kumpulan pemuda yang terbabit dalam bantahan memaksa Hosni Mubarak meletak jawatan bulan lalu memilih untuk mengundi ‘tidak’.

Di MANAMA, Raja Bahrain, Hamad bin Isa Al Khalifa berkata pakatan asing terhadap negaranya dipatahkan dan berterima kasih kepada tentera negara jiran kerana membantu menamatkan pemberontakan selepas beberapa minggu meletus.

“Saya mengumumkan kegagalan cubaan luar untuk mencetuskan kacau bilau di negara ini,” katanya yang dipetik agensi berita BNA. – AFP/AP 

No comments: