Pages

Tuesday, March 22, 2011

Presiden Yaman pecat Kabinet



SANAA - Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh mengumumkan beliau telah memecat Kabinetnya kelmarin berikutan ribuan penunjuk perasaan antikerajaan menuntutnya meletak jawatan segera dan melakukan reformasi politik sejak bulan lalu.

Sebelum ini, Ali Abdullah telah meminta ahli Kabinetnya untuk menggantikan tempatnya untuk sementara waktu sehingga beliau membentuk kerajaan baru.

Beberapa menteri telah meletak jawatan termasuk duta Yaman di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Abdullah Alsaidi sebagai tanda protes terhadap kekerasan tentera selepas pasukan keselamatan negara itu melakukan serangan ke atas penunjuk perasaan, di mana sekurang-kurangnya 52 maut, Jumaat lalu.

Sementara itu, puak bersekutu paling berkuasa di negara itu turut menuntut Ali Abdullah supaya meletak jawatan dengan segera sekali gus menambahkan tekanannya.

Ratusan ribu penunjuk perasaan antikerajaan menyertai perarakan pengebumian 30 rakyat Yaman semalam yang terkorban dalam serangan berdarah yang dilakukan oleh pasukan tentera negara itu.

Ali Abdullah turut mengisytiharkan Hari Berkabung Kebangsaan Yaman semalam untuk 'pejuang demokrasi' yang terkorban, dan menyalahkan kumpulan pembangkang yang memulakan hasutan dan kekacauan sehingga berlaku pembunuhan.

Presiden Yaman itu mula berkuasa sejak 1978, dan sedang berhadapan dengan salah satu cabaran paling berat dalam tempoh beliau memerintah negara itu.


SH

No comments: