Peningkatan 10 juta kali lebih tinggi berbanding paras biasa
TOKYO: Pegawai di Jepun semalam melaporkan peningkatan besar mendadak kadar radiasi iaitu 10 juta kali lebih tinggi berbanding paras biasa dalam air di salah satu reaktor di loji nuklear di Fukushima Daiichi yang bocor selepas dilanda gempa bumi dan tsunami 11 Mac lalu.
Jurucakap pengendali loji Tokyo Electric Power Co (TEPCO), Takashi Kurita berkata, udara di loji itu diukur pada kadar, 1,000 milisievert sejam, empat kali ganda paras 250 milisievert yang disahkan selamat oleh kerajaan.
Berita mengenai peningkatan mendadak paras radiasi di Unit 2 tersebar ketika jurutera TEPCO bertungkus-lumus mengepam air tercemar dari dua lagi reaktor bermasalah di loji Fukushima Daiichi, 220 kilometer ke timur laut Tokyo.
“Bacaan di loji itu terlalu tinggi, menyebabkan pekerja mengukurnya, melarikan diri sebelum mengambil bacaan kedua,” katanya.
Beliau berkata, pekerja sedang berusaha keras mengeluarkan air tercemar itu dan mencari tempat selamat untuk menyimpannya.
Dua pam baru akan dibawa masuk untuk mempercepatkan kerja mengepam air, berikutan setakat ini hanya satu pam digunakan.
Agensi Keselamatan Nuklear dan Industri Jepun kelmarin memberi amaran paras radiasi di unit terbabit semakin meningkat dan usaha mengepam air di loji itu perlu diberi keutamaan.
Paras radiasi yang tinggi dalam air di loji nombor 3, menimbulkan kecurigaan kebocoran mungkin disebabkan rekahan. Dua pekerja kini dirawat di hospital selepas dipercayai cedera kerana meranduk air tercemar itu.
Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano, berkata sumber kebocoran belum dapat dipastikan, tetapi air dengan sisa radioaktif itu ‘hampir pasti’ merembes dari teras reaktor.
Penemuan air dengan sisa radioaktif di dalam satu atau lebih unit daripada enam kompleks reaktor itu dianggap kekecewaan besar dalam misi segera untuk memulihkan sistem penyejuk sokongan supaya boleh berfungsi semula, selepas lebih dua minggu terjejas akibat gempa bumi dan tsunami.
Gempa bumi dengan kekuatan 9 skala Richter melanda wilayah timur laut Jepun 11 Mac lalu, mencetuskan tsunami dan melumpuhkan operasi di loji nuklear Fukshima Daiichi.
Ia juga semakin menyukarkan usaha mencari dan menyelamat mangsa gempa yang mengorbankan lebih 10,000 nyawa selain menyebabkan ratusan ribu penduduk kehilangan kediaman.
Sejak gempa bumi dan tsunami melanda, pekerja di loji berkenaan terus bertungkus-lumus menyejuk loji yang terlalu panas, ketika sisa radioaktif mula mencemari makanan, air laut malah bekalan air paip hingga sejauh Tokyo. – AP
bharian
No comments:
Post a Comment