Pages

Tuesday, March 29, 2011

Bahrain nafi Kuwait jadi perantara


Penunjuk perasaan syiah di Bahrain mengibarkan bendera kebangsaan negara itu semasa pengebumian Hani Abdel Aziz, salah seorang penunjuk perasaan yang terbunuh dalam pertempuran dengan pihak berkuasa di Bilad al-Kadim di pinggir Manama pada 25 Mac lalu. - AFP


DUBAI 28 Mac - Menteri Luar Bahrain, Sheikh Khaled bin Ahmed bin Mohammed al-Khalifa hari ini menafikan Kuwait akan menjadi perantara untuk menyelesaikan krisis politik di Bahrain.
Kumpulan pembangkang Syiah utama di Bahrain, Wefaq semalam berkata, mereka akan menerima tawaran daripada Amir Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad al-Sabah untuk menjadi perantara antara kerabat diraja Bahrain, al-Khalifa yang bermazhab Sunah dengan kumpulan-kumpulan pembangkang Syiah.
Sheikh Khaled di laman Twitter beliau berkata, tidak ada rancangan untuk mengadakan dialog yang diketuai oleh Kuwait.
"Sebarang kenyataan mengenai perantaraan Kuwait di Bahrain adalah tidak benar sama sekali, terdapat usaha sebelum ini (untuk berdialog) yang tidak dibalas, dan usaha itu berakhir dengan pelaksanaan Keselamatan Negara (undang-undang darurat)," katanya.
Pertubuhan serantau, Majlis Keselamatan Teluk (GCC) terdiri daripada Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menyambut baik langkah perantaraan itu, semalam.
"Kami berharap inisiatif ini adalah untuk kepentingan keselamatan dan kestabilan," kata Setiausaha Agung GCC, Abdulrahman al-Attiyah di Kuwait.
Akhbar Kuwait, al-Seyassah semalam berkata, satu delegasi Wefaq dijadual menemui ahli politik Kuwait termasuk Speaker Parlimen, Jassem al-Kharafi.
Awal bulan ini, pemerintah Bahrain menguatkuasakan undang-undang darurat di negara itu dan membawa masuk askar dari negara jiran di Teluk untuk menghentikan kekacauan prodemokrasi yang diketuai penunjuk perasaan Syiah.
Lebih 60 peratus rakyat Bahrain adalah penganut Syiah dan kebanyakan mereka berkempen menuntut sistem raja berperlembagaan, tetapi seruan puak pelampau supaya kerabat di raja digulingkan telah mencemaskan penduduk Sunah yang bimbang kekacauan hanya akan memenuhi kepentingan Iran, kuasa Syiah di seberang perairan Teluk. - Reuters
-utusan

No comments: