Pages

Tuesday, March 29, 2011

Pemberontak Yaman ikrar perbesar bantahan




BERSATU MELAUNGKAN PROTES: Pembantah antipemerintah Yaman menabik bagi memberi penghormatan bersama dalam satu perhimpunan yang menggesa penggulingan Presiden Saleh di pekarangan Universiti Sanaa, kelmarin. -- Foto REUTERS


SANAA: Para pemberontak jalanan yang dipimpin golongan belia menyuarakan kemarahan mereka terhadap insiatif pembaharuan yang diumum presiden Yaman kelmarin, dengan berikrar akan meningkatkan lagi demonstrasi mereka supaya menjadi satu persengketaan berskala lebih besar.
Mereka berkata mereka tidak akan meninggalkan 'Dataran Perubahan' di luar bangunan Universiti Sanaa di ibu kota Yaman kecuali Presiden Ali Abdullah Saleh meletak jawatan.'Kami tidak akan meninggalkan protes ini kecuali penzalim ini pergi bersama rejimnya yang rasuah, yang telah memusnahkan tanaman dan negara,' kata seorang pembantah bernama Mohamed Haidar kepada agensi berita Xinhua.Pemberontakan itu berlaku selepas pengumuman melalui stesen televisyen negara itu kelmarin mengenai keputusan terbaru parti memerintah pimpinan Encik Saleh bahawa beliau akan kekal sehingga 2013 dan membentuk sebuah pemerintah baru bagi melakar undang-undang perlembagaan dan pilihan raya baru.Seorang ibu yang menghadiri bantahan dekat Universiti Sanaa itu, Cik Om Mohamed, berkata: 'Kami bersumpah tidak akan pulang ke rumah sehingga Saleh diusir dan kami akan mendakwa dia kerana membunuh anak-anak dan suami-suami kami dalam kejadian penembakan pada 18 Mac lalu.'Kejadian di dataran itu mengorbankan 52 jiwa pemberontak, termasuk beberapa kanak-kanak, dan dianggap satu 'pembunuhan beramai-ramai' hingga menyebabkan beberapa pegawai tentera dan sekutu Encik Saleh berpaling tadah dan menyokong gerakan pemberontak.Sementara itu semalam Encik Saleh melantik Mejar Jeneral Ahmed Saeed bin Brik sebagai komander baru Tentera Kawasan Timur dan Briged Mika 27 Timur untuk menggantikan Mejar Jeneral Mohamed Ali Mohsen, yang mengisytiharkan beliau telah menyertai gerakan pemberontak, kata kementerian pertahanan Yaman.Beliau turut melantik Kolonel Hussein Mshaba sebagai komander Briged Infantri ke-15 di wilayah Amran, di utara negara itu, yang bermasalah, bagi menggantikan seorang lagi komander yang berpaling tadah. -- Agensi.

No comments: