Pages

Tuesday, March 29, 2011

Pemberontak marake bandar kelahiran Gaddafi


ANGGOTA-ANGGOTA pemberontak melepaskan bedilan mortar ke arah tentera pemimpin Muammar Gaddafi dekat bandar Bin Jawad semalam.

BIN JAWAD, Libya - Anggota-anggota pemberontak yang mara untuk menawan bandar kelahiran Muammar Gaddafi, Sirte semalam melepaskan tembakan mortar semasa bertempur dengan tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.
Para pemberontak itu menaiki sejumlah trak yang dilengkapi mesingan berkuasa tinggi.
Kumpulan itu diserang hendap tentera Gaddafi menyebabkan mereka berundur buat seketika.
Bagaimanapun, anggota-anggota tersebut membentuk semula kumpulan bagi menuju ke bandar Sirte.
"Kami berjuang menentang tentera Gaddafi. Kami mara satu hingga dua kilometer pada satu-satu masa," kata seorang anggota pemberontak, Khalif Ali, 22, di bandar Harawah.
Bagaimanapun, kemaraan pantas tentera pemberontak sejak Sabtu lepas dibimbangi akan menyebabkan mereka berdepan masalah bekalan yang tidak mencukupi.
"Kami berdepan masalah kekurangan petrol yang serius," kata seorang pejuang yang menunggu untuk mengisi minyak di bandar petroleum Ras Lanuf.
Terdahulu, stesen televisyen Al Jazeera melaporkan, pihak pemberontak menawan bandar Nawfaliyah, 20 kilometer dari sini, daripada tentera yang setia kepada Gaddafi.
Perkembangan itu menunjukkan pihak pemberontak kini berada 120 kilometer dari bandar kelahiran pemimpin Libya itu.
Seorang wartawan agensi berita Reuters, Michael Georgy melaporkan setakat semalam, situasi Sirte aman tanpa tanda-tanda berlakunya pertempuran.
Sebagai bandar kelahiran Gaddafi dan pangkalan tentera, Sirte yang terletak di antara kubu pemberontak di bandar Bengazhi dan ibu kota Libya, Tripoli, mempunyai nilai strategik serta simbolik kepada kedua-dua belah pihak.
Sekiranya bandar itu jatuh ke tangan pemberontak, mereka mendapat kemenangan psikologi yang akan memudahkan laluan mereka untuk menawan Tripoli.
Dalam perkembangan berkaitan, Rusia mengkritik serangan udara Barat yang telah mengubah arus konflik di Libya.
Rusia menyatakan, serangan-serangan udara itu menandakan Barat berpihak kepada pemberontak dalam perang saudara di Libya sekali gus melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sebelum ini, PBB meluluskan serangan udara bagi menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya bertujuan untuk melindungi orang awam daripada menjadi mangsa jet-jet pejuang Gaddafi.
Sementara itu, menjelang rundingan 35 buah negara di London hari ini, Itali mengusulkan satu penyelesaian politik bagi menamatkan krisis di Libya.
Cadangan itu antara lain melibatkan satu gencatan senjata segera, suaka politik kepada Gaddafi dan dialog antara pemberontak dengan ketua-ketua suku kaum di Libya.
Krisis di Libya bermula pada 15 Februari lalu apabila rakyat bangkit menentang Gaddafi bagi menuntut pembaharuan ke arah demokrasi.
Gaddafi memerintah negara itu sejak 1969 selepas melakukan rampasan kuasa ke atas Raja Idris yang ketika itu berada di luar negara untuk mendapatkan rawatan perubatan.- Agensi

No comments: