ZAWIYA - Para penunjuk perasaan yang bersenjata dan yang dibantu oleh rakan-rakan mereka di sebuah bandar dekat dengan Tripoli semalam bergabung tenaga untuk menyingkirkan Muammar Gadadfi yang memerintah negara itu sejak 1 September 1969.
Para penunjuk perasaan berada di bandar ini 50 kilometer dari Tripoli yang merupakan ibu kota Libya.
Menurut wartawan agensi berita Associated Press, para penunjuk perasaan itu mempunyai kereta kebal tentera dan senjata antipesawat.
Wartawan itu menyatakan, para penunjuk perasaan menguasai pusat bandar Zawiya.
Namun, terdapat enam pusat pemeriksaan tentera yang dikawal oleh askar-askar yang setia dengan Gaddafi di sebatang jalan raya dari Tripoli ke Zawiya.
Setiap pusat pemeriksaan itu, terdapat sebuah kereta kebal yang ditempatkan.
"Bagi kami, Gaddafi merupakan Dracula Libya," kata seorang pegawai tentera, Wael al-Oraibi yang berpaling tadah dengan menyertai para penunjuk perasaan antipemerintah.
Sementara itu, di kawasan pinggir Tripoli, kebanyakan kedai ditutup dan orang ramai berbaris di beberapa buah bank untuk membuat urusan.
Sebahagian orang berbaris di bank-bank selepas stesen televisyen dan khidmat pesanan ringkas melaporkan beberapa hari lalu bahawa setiap keluarga akan memperoleh AS$400 (RM1,221) selain kredir AS$100 (RM305) untuk perkhidmatan telefon daripada pemerintah.
Stesen televisyen Libya melaporkan keluarga di negara itu juga berhak untuk mendapatkan peruntukan AS$49,000 (RM149,621) dalam pinjaman tanpa faedah bagi membeli apartmen.
Semua insentif itu diumumkan selepas para penunjuk perasaan bangkit menentang pemerintahan Gaddafi yang dianggap tidak membantu penduduk miskin. - Agensi
No comments:
Post a Comment