Pages

Monday, February 28, 2011

125 kes kebakaran, kerugian RM12.5 juta dicatatkan diMiri



MIRI 27 Feb. - Sejumlah 125 kes kebakaran membabitkan kemusnahan harta benda bernilai RM12.5 juta direkodkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri sepanjang tempoh tahun lalu.
Pada masa sama, bagi tempoh tersebut, jabatan itu turut menyelamatkan harta benda bernilai lebih RM6 juta.
Penguasa Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Unjar Lum berkata, berdasarkan statistik, perangkaan kebakaran balai bomba di bawah Zon Miri, Balai Bomba Pusat (BBP) telah merekodkan kes kebakaran paling tinggi iaitu 63 kes diikuti BBP Lopeng (40 kes) dan BBP Marudi (22 kes).
Daripada jumlah itu, katanya, kebakaran membabitkan bangunan termasuk rumah kediaman mencatatkan angka tertinggi iaitu 48 kes diikuti kebakaran lalang (32) dan kenderaan (21).
Selain itu, lain-lain jenis kebakaran (lapan), hutan (tiga) dan satu kes masing-masing kebakaran membabitkan alat perkakas, gas dan gerai makan.
"Tiada kes membabitkan mesin, produk petroleum, bahan kimia, kapal terbang, kapal laut dan kebun tanaman direkodkan sepanjang tahun lalu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Unjar turut menasihatkan orang awam supaya berhati-hati ketika menggunakan api terutama pada musim panas.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan para ibu-bapa supaya sentiasa mengawasi anak-anak mereka supaya tidak bermain dengan api.
Dalam perkembangan sama, Unjar memberitahu, bomba Zon Miri turut melakukan khidmat khas termasuk memberi bantuan kes kemalangan jalan raya, membersih tumpahan minyak, operasi mencari dan menyelamat dalam air.
Selain itu, mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam bangunan dan juga menangkap ular atau binatang liar.
"Sepanjang tahun lalu, sebanyak 84 khidmat khas telah dilakukan oleh anggota bomba Zon Miri yang turut merangkum BBP Lopeng, Miri dan Marudi.
"Daripada jumlah itu, khidmat khas membabitkan kerja-kerja menangkap ular dan melupus sarang tebuan paling banyak dilakukan dengan 38 kes.
"Ia diikuti kemalangan jalan raya (20 kes) dan mangsa lemas (lapan kes)," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Unjar berkata, pelbagai aktiviti dianjurkan pihak bomba sepanjang tahun lalu yang turut membabitkan penyertaan kakitangan kerajaan dan swasta di samping pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT).
"Objektif utama adalah meningkatkan kesedaran di kalangan orang awam pentingnya mengambil langkah-langkah keselamatan bagi mengelak kebakaran dan langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya berlaku kebakaran," katanya.
Utusan Malaysia Online - Sabah & Sarawak

No comments: