KAHERAH 26 Jan. - Pegawai keselamatan Mesir menahan kira-kira 200 penunjuk perasaan semasa pertempuran semalam dengan golongan tersebut yang menuntut Presiden Hosni Mubarak menamatkan pemerintahannya selama 30 tahun.
Pegawai berkata, lebih ramai penunjuk perasaan akan ditahan apabila pihak berkuasa meneliti rakaman video polis tentang bantahan tersebut.
Tiga penunjuk perasaan dan seorang anggota polis maut semalam dalam pertempuran, memaksa beribu-ribu polis rusuhan ditempatkan di seluruh Kaherah hari ini.
Kementerian Dalam Negeri Mesir hari ini melarang sebarang demonstrasi diadakan dan memberi amaran penunjuk perasaan boleh didakwa sekiranya berdegil.
“Tiada langkah provokatif, perhimpunan bantahan, perarakan atau demonstrasi dibenarkan.
“Tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar larangan ini dan boleh didakwa,” jelas kenyataan kementerian tersebut.
Penunjuk perasaan semalam melaungkan slogan ‘Hosni Mubarak perlu berundur’ selepas meninggalkan kawasan Dataran Tahrir. Beberapa penunjuk perasaan melempar batu ke arah polis yang menghalang mereka kembali ke Dataran Tahrir dengan menggunakan cota selepas kawasan itu dikosongkan.
Laungan ‘Pembuli’ dan ‘Kamu Bukan Lelaki’ turut kedengaran apabila polis menembak meriam air ke arah penunjuk perasaan yang terpaksa berundur dari kawasan tersebut.
Beberapa pertempuran terus berlaku hari ini tetapi bilangan penunjuk perasaan semakin kurang pada waktu subuh.
Polis terus meronda di sekitar Dataran Tahrir, sementara pekerja dilihat mula membersihkan sampah sarap serta batu-batu. – Agensi
No comments:
Post a Comment