Pages

Thursday, January 27, 2011

Anak Hosni lari ke Britain


KAHERAH: Anak Presiden Hosni Mubarak yang dianggap sebagai bakal penggantinya, dilapor melarikan diri bersama keluarga ke Britain.
Akhbar The Times of India yang memetik laman web Arab yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Akhbar Al Arab melaporkan, pesawat membawa Gamal Mubarak (gambar), isteri dan anaknya berlepas ke London semalam dari lapangan terbang di barat Kaherah.

Laporan mengenainya tersebar selepas Twitter mengesahkan laman webnya di Mesir disekat, langkah yang dilhat sebagai cara untuk menghalang penunjuk perasaan menggunakannya bagi berkempen untuk menggulingkan Hosni.

Menurut Twitter, perkhidmatannya disekat di Mesir bermula jam 12 malam(waktu Malaysia) Selasa lalu.

Sementara itu, satu kumpulan pembangkang Mesir menggesa rakyat negara itu meneruskan tunjuk perasaan buat hari kedua semalam, sehari selepas beribu-ribu penduduk menyertai perhimpunan besar-besaran di seluruh negara, sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini. Kumpulan belia prodemokrasi, Pergerakan 6 April, yang melancarkan tunjuk perasaan Selasa lalu, sekali lagi menggesa orang ramai menuju ke medan utama Kaherah beberapa jam selepas polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dalam usaha menyuraikan beribu-ribu penunjuk perasaan.

“Semua orang perlu menuju ke Medan Tahrir untuk menguasainya sekali lagi,” kata kumpulan itu dalam laman Facebooknya.

Dalam kenyataan berasingan, ia menggesa rakyat Mesir terus menunjuk perasaan.

Tunjuk perasaan Selasa lalu yang digelar ‘hari kemarahan’ dan didorong oleh kebangkitan rakyat di Tunisia beberapa hari lalu, menyebabkan dua penunjuk perasaan dan seorang anggota polis terbunuh.
Meskipun antara 20,000 hingga 30,000 polis dikerah mengawal di tengah Kaherah, beribu-ribu penunjuk perasaan berarak ke Medan Tahrir sambil melaungkan slogan ”Rakyat mahu menyingkirkan rejim itu.’ Beberapa pertempuran berlaku di bandar raya itu awal semalam tetapi menjelang pagi, polis menguasai semula medan itu. - Arab News

No comments: