Pages

Friday, December 10, 2010

83 banduan maut penjara terbakar




2010/12/10


  • Foto
    ASAP tebal dan api marak dalam kebakaran di penjara San Migue Santiago, semalam.
  • Foto
    BANDUAN yang terperangkap dalam kebakaran mengibarkan bendera untuk mendapatkan bantuan.
Kejadian ketika tahanan merusuh, bergaduh dalam sel terlalu sesak

SANTIAGO: Satu kebakaran yang berlaku ketika rusuhan di sebuah penjara sesak di sini kelmarin, mengakibatkan sekurang-kurangnya 83 banduan terbunuh, dan 14 lain cedera parah.
Jeritan dapat didengar ketika seorang banduan menghubungi sebuah stesen televisyen untuk mendapatkan bantuan dengan menggunakan telefon selular secara haram.“Keadaan di penjara ini tidak masuk akal,” kata Presiden Chile, Sebatasian Pinera, yang melawat pusat kecemasan di mana banduan dirawat bagi kesan terbakar teruk dan sedutan asap. 

Pengarah polis penjara nasional, Luis Masferrer, berkata kebakaran berlaku kira-kira jam 5.30 pagi di penjara San Miguel di selatan ibu negara, dan berjaya dikawal kira-kira tiga jam kemudian.

Laporan awal menunjukkan bahawa kebakaran itu disengajakan, kata pegawai penyiasat, Alejandro Pena. Menteri Dalam Negeri, Rodrigo Hinzpeter, berkata ia bermula ketika tercetusnya pergaduhan di kalangan banduan terbabit dan ia sampai ke tahap maksimum hanya dalam tempoh tiga minit.

Pegawai penjara berkata panggilan pertama ke pihak bomba dibuat kira-kira 20 minit selepas rusuhan bermula. 
Beratus-ratus anggota keluarga yang marah berhimpun dalam suasana kecoh di luar pintu masuk ke penjara. Sesetengahnya menunggu sehingga enam jam tetapi pegawai membacakan nama banduan yang terselamat – yang disalah sangka sebagai mangsa maut. Sesetengahnya meludah atau membaling batu ke arah pengarah polis penjara berkenaan.

Pengarah operasi polis, Jaime Concha berkeras bahawa polis bertindak pantas walaupun terpaksa mengendalikan 1,900 banduan di penjara yang dibina untuk 700 orang.

Oktober lalu, Hakim Ana Maria Arratia Valdebenito memberi amaran bahawa Menara 5, di mana kebakaran bermula, menahan 484 banduan - lebih 100 orang di setiap tingkat.

Pihak bomba Chile berkata mereka dimaklumkan mengenai kebakaran itu menerusi satu panggilan telefon dari dalam penjara. 

Kebanyakan banduan maut di tingkat tiga, Menara 5. Pihak bomba terpaksa bekerjasama dengan polis bagi mengelakkan lebih banyak masalah dengan banduan di sekeliling mereka.

Beberapa anggota keluarga banduan memberitahu stesen TV kerajaan bahawa polis penjara pada mulanya menutup pintu kepada bomba, dan mengganggu usaha oleh 10 unit untuk mengawal api. – AP 

No comments: