Pages

Friday, December 10, 2010

Perang penggodam WikiLeaks




SKRIN laman MasterCard.com yang digodam oleh penggodam kelmarin.




LONDON - Perang penggodam antara kumpulan pro-WikiLeaks dengan anti-WikiLeaks semakin meluas dengan mangsa terbaru melibatkan sebuah akhbar di Lebanon semalam.
Sebelum ini, laman MasterCard dan Visa digodam oleh kumpulan pro-WikiLeaks.
Kumpulan itu menyokong pengasas laman WikiLeaks yang membocorkan lebih 250,000 kabel diplomatik Amerika Syarikat (AS) di Internet. Julian Assange kini ditahan di Britain atas dakwaan merogol dan mencabul dua wanita di Sweden.
"Kami berasa gembira untuk memberitahu anda bahawa http://www.mastercard.com/ kini tidak berfungsi dan ia disahkan," kata satu mesej di laman Twitter yang dihantar sebuh kumpulan dikenali sebagai AnonOps.
Kumpulan itu menentang sekatan dan tapisan maklumat.
Laman Visa tidak berfungsi pada Isnin lalu di AS dan kumpulan yang sama bertanggungjawan melakukan penggodaman itu.
Bagaimanapun, urusan penggunaan kedua-dua kad itu tidak terjejas.
Sumber-sumber memberitahu agensi berita Reuters bahawa WikiLeaks akan mendedahkan laporan mengenai suspek militan yang ditahan di penjara Teluk Guantanamo.
Sementara itu, pihak berkuasa pendakwa raya Sweden yang mengeluarkan waran tangkap Assange menyatakan pihaknya telah membuat aduan kepada polis berhubung serangan siber.
Sementara itu, laman web akhbar Al-Akhbar semalam turut digodam selepas ia menyiarkan maklumat rahsia kabel diplomatik AS yang dibocorkan WikiLeaks.
Akhbar itu mempunyai hubungan rapat dengan kumpulan Hezbollah.
Seorang editor akhbar itu, Omar Nashabe berkata, serangan itu adalah yang paling serius sejak akhbar tersebut diwujudkan pada 2006. - Agensi

No comments: