Pages

Friday, December 10, 2010

Maut bergumpal bersama dodol

DI SINI...mesin pengisar dodol terbabit.

DI SINI...mesin pengisar dodol terbabit.





POTONG...mesib pengisar yang mengorbankan mangsa selepas dipotong bomba.
POTONG...mesib pengisar yang mengorbankan mangsa selepas dipotong bomba.




TUMPAT: “Panas ni! Tolong la wei! Cepat, panas ni,” rintih seorang warga emas, Wan Zainab Wan Ali, 62, ketika ditemui bergelumang dalam mesin kawah pengacau dodol panas oleh anak saudaranya, Nik Roslan Nik Hussein, 41, di bangsalnya di Kampung Laut, di sini, petang semalam.
Kejadian jam 5 petang itu menyebabkan Nik Roslan yang mengumpulkan kayu api untuk diletakkan di bangsal itu tergamam sebelum melihat badan ibu saudaranya bergumpal bersama dodol di dalam kawah berkenaan.
Difahamkan, mangsa sudah dua hari tidak pergi ke bangsal itu bersama anak perempuannya, Zarika Mamat, 40, kerana kedua-dua mereka demam.


Bagaimanapun, Wan Zainab pergi berseorangan kira-kira jam 8 pagi semalam untuk mengacau dodol menggunakan mesin baru dibelinya Julai lalu, berikutan sambutan menggalakkan sempena musim cuti sekolah ini.




Hasrat pengusaha dodol terbabit untuk mencari pendapatan lebih, bagaimanapun tidak kesampaian apabila dia ditemui dalam keadaan menggelupur kepanasan di dalam kawah.

Harian Metro difahamkan, usaha mengeluarkan mangsa gagal dilakukan penduduk kampung kerana tubuhnya tersekat di dalam mesin berkenaan menyebabkan tugas menyelamat diserahkan kepada bomba.


Sebaik tiba, sekumpulan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat mengalihkan mesin itu sebelum mengeluarkan mangsa.


Mangsa yang mewarisi bakat mengacau dodol sejak turun-temurun dan mengusahakan perniagaan itu 50 tahun lalu, menghembuskan nafas terakhir ketika dibawa menaiki ambulans ke Hospital Tumpat dengan keadaannya berlumuran darah.


Nik Roslan berkata, dia terkejut mendengar jeritan seseorang ketika meletakkan timbunan kayu di bangsal dodol diusahakan ibu saudaranya kira-kira jam 5 petang semalam.


“Ketika itu saya kutip kayu api untuk disimpan ke dalam bangsal. Saya bergegas sebaik mendengar jeritan dan lihat mak cik sudah berpusing di dalam pengisar itu dengan keadaan tangan berputar.


“Saya segera mematikan suis mesin itu dan menjirusnya dengan air kerana keadaan terlalu panas dan mak cik meraung kesakitan,” katanya.


Nik Roslan meminta bantuan jiran untuk membantu mengeluarkan ibu saudaranya di dalam kawah dodol berkenaan.


“Saya panggil orang minta tolong, tapi mereka hanya mampu lihat sebab keadaannya mengerikan. Sebelah kakinya tersekat di batang mesin, manakala sebelah lagi terkeluar ke sebelah kiri kawah yang panas.


“Dua kali saya tengok mak cik berpusing dalam mesin. Orang kampung cuba bantu, tapi gagal menyebabkan mereka menjirusnya dengan air kerana dodol terlalu panas,” katanya.


Berikutan itu, katanya, beberapa jiran menghubungi bomba untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tidak sedarkan diri.


“Dia dibawa ke Hospital Tumpat sebelum disahkan meninggal dunia oleh ahli keluarga ketika dalam perjalanan,” katanya.


Suami mangsa, Mamat Mat Nor, 66, berkata kejadian disedari ketika dia hendak menunaikan solat Asar dan tergerak turun dari rumah untuk melihat kekecohan di bangsal itu.


“Ketika saya hendak solat Asar di rumah, saya dengar orang bising di bawah dan turun ke bangsal untuk melihat apa yang berlaku. Masa itu orang ramai tengah kerumun dan jirus air seperti nak sejukkan dodol.


“Saya tergamam apabila melihat yang dijirus adalah isteri saya menyebabkan saya tidak mampu berkata. Sayu kerana tidak pernah kejadian ini berlaku sepanjang kami mengusahakan dodol,” katanya.


Katanya, sejak dua bulan lalu, isterinya berperangai pelik kerana terlalu sedih ketika menziarahi kakaknya yang mahu menunaikan haji.


“Isteri nampak lain ketika kakaknya nak pergi Makkah. Dia sedih nak berpisah sebab takut mereka tak berjumpa lagi,” katanya.


Sementara itu, Ketua Operasi dan Penyelamat Balai Bomba Tumpat, Yaacob Abdullah, berkata pihaknya menghantar enam anggota bersama satu jentera selepas menerima panggilan, jam 5.30 petang semalam.


Katanya, sebaik tiba jam 5.39 petang, mangsa masih terbaring dalam kawah mesin dodol itu dan orang ramai berusaha mengeluarkan mangsa, tetapi tidak berjaya kerana dia terperosok di dalam mesin.


“Bomba mengambil masa enam minit untuk mengeluarkan mangsa kerana terpaksa memotong batang pengisar dodol. Kami juga terpaksa meminta bantuan orang ramai memegang kepala dan kaki mangsa ketika memotong batang besi berkenaan.


“Mangsa ketika itu separuh sedar. Badan dan kedua-dua kaki serta mukanya melecur, manakala tangan kanan remuk akibat dipulas pengisar,” katanya.


Katanya, siasatan awal mendapati kemungkinan kain tudung mangsa terlilit ke dalam pengisar menyebabkan mangsa terhumban ke dalamnya.

No comments: