Pages

Friday, December 3, 2010

Salji di Eropah



Kerja-kerja membersihkan salji yang memenuhi landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Munich, selatan Jerman, kelmarin. - AP






LONDON 2 Dis. - Salji tebal memaksa beberapa lapangan terbang di Eropah ditutup dan mencetuskan masalah pengangkutan jalan raya serta kereta api semalam ketika cuaca sejuk yang melanda benua itu meragut sekurang-kurangnya 15 nyawa.
Suhu jatuh sehingga -18 darjah Celsius di sebahagian kawasan di Jerman, manakala hujan lebat di Itali menyebabkan dua dinding era Rom runtuh di Pompeii dan banjir di Venice.
Seramai 13 maut akibat terdedah kepada cuaca sejuk di tengah Eropah, termasuk lapan di Poland. Menurut polis, kebanyakan daripada mereka berada di bawah pengaruh alkohol.
Dua lagi kematian dicatatkan di England akibat kemalangan yang berpunca daripada cuaca sejuk, satu dalam perlanggaran motosikal dan satu lagi akibat terjatuh ke dalam tasik.
Albania mengisytiharkan bencana di utara negara itu akibat banjir besar dengan lebih 200 penduduk dipindahkan.
Gangguan pengangkutan berlaku di seluruh Eropah di mana Britain, yang mencatat rekod paling awal salji turun sejak 1993, paling teruk terjejas.
Lapangan Terbang Gatwick di London, hab udara kelapan paling sibuk di Eropah, masih ditutup sehingga pukul 10 pagi ini (pukul 6 petang waktu Malaysia) dengan petugas berusaha membersihkan landasan.
Lapangan Terbang Edinburgh, tersibuk di Scotland juga ditutup dan penangguhan penerbangan turut dilaporkan di lapangan terbang Glasgow dan Aberdeen, Newcastle di timur laut England dan Jersey di Channel Islands. - AFP

No comments: