Pages

Friday, December 3, 2010

Israel rancang bina perumahan baru



Bandar penempatan baru Yahudi di Pisgat Zeev di Baitulmaqdis timur dipisahkan oleh tembok yang dibina oleh rejim zionis Israel. - AP






BAITULMAQDIS 2 Dis. - Israel semalam mengumumkan rancangan untuk membina projek perumahan baru di atas tanah di Tebing Barat yang dirampas oleh rejim Yahudi itu untuk dijadikan sebahagian sempadannya di Baitulmaqdis.
Langkah itu sudah tentu menjejaskan lagi usaha untuk menyambung semula rundingan damai dengan Palestin.
Pelan untuk membina 625 rumah di kawasan bandar Pisgat Zeev bersebelahan Baitulmaqdis timur yang diduduki penduduk Arab diluluskan oleh sebuah jawatankuasa Kementerian Dalam Negeri Israel pada minggu lepas, kira-kira dua tahun selepas mula-mula dicadangkan, lapor Radio Israel.
Rancangan itu akan menjejaskan usaha Amerika Syarikat (AS) untuk memulihkan rundingan damai langsung Israel-Palestin, yang dilancarkan pada 2 September lalu tetapi digantung oleh Palestin selepas Israel enggan melanjutkan pembekuan ke atas aktiviti pembinaan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat pada 26 September.
Israel mendakwa aktiviti pembinaan di kawasan bandar yang dijadikannya sebagai sebahagian Baitulmaqdis berikutan perang Asia Barat 1967 tidak pernah termasuk dalam skop pembekuan itu.
Pisgat Zeet yang diasaskan 25 tahun lalu adalah antara kawasan perumahan Yahudi yang terbesar, dengan kira-kira 50,000 penduduk.
Walaupun Israel mendakwa Baitulmaqdis dikecualikan daripada pembekuan, pelan pembinaan di kota suci itu ditangguhkan secara diam-diam berikutan insiden yang memalukan apabila tawaran kontrak pembinaan didedahkan semasa lawatan Naib Presiden AS, Joe Biden ke Israel pada Mac lepas.
Seorang jurucakap bagi pertubuhan hak asasi Israel, Peace Now yang memantau aktiviti pembinaan perumahan haram Yahudi, menganggarkan pendatang haram Yahudi memiliki kira-kira 13,000 permit pembinaan di seluruh Tebing Barat, dikeluarkan sebelum Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengumumkan pembekuan selama 10 bulan setahun yang lalu.
Netanyahu mengumumkan pembekuan itu untuk memujuk Presiden Palestin, Mahmoud Abbas supaya mengadakan rundingan secara langsung tetapi rundingan itu terhenti selepas Israel enggan melanjutkan tempoh pembekuan sekalipun menghadapi tekanan diplomatik daripada AS. - Reuters

No comments: