Pages

Monday, December 27, 2010

Mutiara Raksaksa


Masjid Agung Sheikh Zayed Bin Sultan Al-Nahyan

Selain merupakan masjid ketiga terbesar dunia, Masjid Agung Sheikh Zayed Al-Nahyan miliki dua harta terbesar dunia - permaidani tenunan tangan Parsi dan lampu candelier di ruang solatnya. 


Dengan gugusan kubah dan bangunan tersergam diperbuat daripada batu marmar putih, ia persis sebutir mutiara raksasa yang bersinar di tengah ketandusan padang pasir.
Itulah yang terlintas di fi kiran ini sejurus menatap Masjid Agung Sheikh Zayed Bin Sultan Al-Nahyan yang terletak di pinggiranAbu Dhabi – ibu kota negara Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Lama sebelum saya menjejakkan kaki ke perkarangan masjid tersebut, hati ini sudah terpanggil untuk berdiri barang sejenakbagi membenarkan mata ini menghirup sepenuhnya keagungan seni bina masjid ketiga terbesar di dunia selepas Masjidil Haram diMakkah dan Masjid Nabawi di Madinah. Saya berpeluang melawat Masjid Agung Sheikh Zayed semasa bertugas di UAE, baru-baru ini.
Bagi para penduduk tempatan, keagungan mercu tanda kota Abu Dhabi itu dilihat sebagai sebuah lambang perpaduan sejagat bermula dari tahap konsep sehingga ia terbina.
Proses pembinaannya mengumpulkan para pereka, ciri-ciri unik, bahan binaan juga para pembekal dari setiap pelosok dunia sepertiItaly, Jerman, Maghribi, India, Turkey, Iran, China, Greece dan juga UAE sendiri.
Pelan megah itu diilhamkan mantan presiden UAE, Almarhum Sheikh Zayed bin Sultan Al-Nahyan. Makam Almarhum, yang diangkat sebagai bapa negara Teluk itu terletak di perkarangan masjid.
Masjid itu dibuka secara rasmi dalam bulan Ramadan 2007.
Seni bina bangunan masjid yang mengambil sempena nama Almarhum Sheikh Zayed pada tahap awalnya mencerminkan seni bina Maghribi. Tetapi ia berubah dan diterapkan dengan ciri-ciri seni bina unik dari serata dunia. Contohnya, dinding luar masjid itu dipengaruhi seni bina Turkey.
Bahan binaan semula jadi seperti batu marmar, emas, batu-batuberharga, kristal dan jubin pula menghiasi setiap ruang masjid.
Kesemua 80 kubah masjid dihiasi dengan batu marmar putih.
Tempurung kubah utama masjid mempunyai garis pusat 32.7 meterdan ketinggian luar 70 meter. Menurut Pusat Penyelidikan Bagi Sejarah dan Budaya Islam Turkey, ia adalah kubah yang terbesar di dunia.
Masjid Agung Sheikh Zayed mempunyai 1,096 tiang di bahagianluar dan 96 tiang di dalam dewan solat utama yang bertatahkanbatu-batu berharga seperti batu akik, kecubung, cengkerang abalonedan mutiara. Empat menara setinggi 107 meter pula menjulang kelangit di keempat-empat penjuru masjid.
Berjalan di perkarangan masjid membawa pengunjung menyusur kolam tenang seluas 7,874 meter persegi yang mengalir keliling masjid. Batu marmar bermotif bunga-bungaan dan mozek warna-warni pula diturap di laman dalaman masjid seluas 17,000 meter persegi. Secara keseluruhan, masjid tersebut boleh memuatkan sekitar 40,000 jemaah pada satu-satu masa.
Namun, keindahan luaran Masjid Sheikh Zayed hanya bak pembuka selera bagi keindahan ruang dalamannya yang menanti para pengunjung.
Dinding ruang dalaman masjid itu dihiasi batu marmar Italy bertatahkan hiasan-hiasan batu mozek bersalut emas. Di dalam dewan solat utamalah pengunjung boleh melihat dua objek yang memahat nama Masjid Agung Sheikh Zayed di dalam Buku Rekod Guiness.
Melangkah ke dalam dewan itu, para pengunjung akan berjalan di atas hamparan permaidani tenunan tangan Parsi yang terbesar di dunia. Permaidani yang direka pereka Iran, Ali Khaliqi, itu selebar 7,119 meter persegi dan seberat 47 tan. Seramai 1,200 penenun diperlukan untuk menghasilkan permaidani yang mengandungi lebih dua juta ikatan tenun.
Tergantung di ruang tengah dewan solat ialah lampu candelier terbesar di dunia setinggi 15 meter dan 10 meter lebar.
Kedua-dua rekod tersebut telah disandang sebelum ini oleh Masjid Agung Sultan Qaboos di Oman.
Saya berdiri terpegun agak lama di dewan solat, cuba menghargai kesenian tinggi yang menakjubkan itu – hasil titik peluh ratusan karyawan seni dari seluruh pelosok dunia.
Ternyata Masjid Agung Sheikh Zayed merupakan satu sumbangan besar UAE, bukan sahaja kepada tamadun Islam masa ini, malah tamadun manusia sejagat.
Untung rasanya, berpeluang melawat masjid ketiga terbesar di dunia. Entah bila pula yang lagi dua agaknya.
cyberita

No comments: