Pages

Thursday, December 16, 2010

Buaya tiga meter gemparkan pekelah di Kuantan

TERSASAR DARIPADA HABITAT: Pegawai penyelamat pantai memikul buaya tembaga yang mereka tangkap di Teluk Cempedak malam Selasa lalu. -- Foto THE STAR

16 Dis 2010

KUANTAN: Orang ramai yang berkunjung ke pantai Teluk Chempedak di sini gempar dengan kemunculan seekor buaya tembaga seberat 200 kilogram yang terdampar di pesisir pantai itu malam kelmarin.

Reptilia sepanjang tiga meter itu, yang tersesat daripada habitatnya, ditemui terdampar di kawasan berbatu di pantai itu malam Isnin lalu.
Penolong Pegawai Pertahanan Awam (JPAM) Kuantan, Encik Mohamad Irwanis Seni, berkata pasukannya bergegas ke tempat kejadian sebaik-baik sahaja menerima panggilan orang awam sekitar 8 malam.'Ia seberat 200 kilogram. Buaya itu dengan mudah dapat ditangkap kerana ia tidak agresif dan tidak melawan,' katanya seperti ditukil akhbar The Star semalam.Menurutnya, buaya itu dapat ditangkap kerana keadaannya cukup lemah.Encik Mohamad Irwanis berkata buaya berkenaan dibawa ke pejabat JPAM di Kuantan sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang sekitar 12 tengah malam.Pengarah Perhilitan Pahang, Cik Khairiah Mohd Shariff, mengesahkan jabatannya menerima buaya tembaga itu.'Buaya itu telah dilepaskan ke habitat semula jadinya kira-kira 1.30 pagi tadi,' katanya seperti ditukil Utusan Malaysia semalam.Beliau berkata orang ramai tidak perlu risau dengan penemuan buaya berkenaan kerana pantai Teluk Chempedak bukan habitat reptilia tersebut.Menurut Cik Khairiah, buaya berusia sekitar 10 tahun itu mungkin tersesat sewaktu berenang di Sungai Kuantan semasa air pasang.'Buaya tembaga itu tidak keluar ke pantai jika tiada sebab kerana di situ bukan tempat haiwan ini bermain,' katanya.Para saksi berkata mereka menyangka buaya itu seekor biawak besar sewaktu ia berenang ke kawasan berbatu dan terpencil di pantai itu, kita-kira satu kilometer dari tempat yang dikunjungi pekelah.'Ia kelihatan letih kerana ombak kuat menariknya ke laut,' kata seorang pelungsur ombak, Encik Mohd Ridzuan Zainal, 28 tahun.Beliau dan seorang rakan cuba menarik buaya itu ke pantai tetapi terpaksa berundur selepas haiwan itu cuba melibas mereka dengan ekornya.Ketika itu baru mereka tahu haiwan tersebut seekor buaya.'Kami berjaya mengikatnya dan menutup matanya dengan tuala sebelum pasukan Pertahanan Awam tiba,' kata Encik Ridzuan. -- NST, The Star, Utusan Malaysia.

No comments: