LONDON - Sekumpulan peminat sains angkasa lepas di Britain menemui cara murah untuk merakamkan gambar pemandangan Bumi seperti rakaman satelit dengan hanya menggunakan kapal terbang kertas, lapor sebuah akhbar semalam.
Pesawat tanpa enjin itu meluncur pada ketinggian 27.4 kilometer di udara yang merupakan altitud tertinggi bagi sebuah kapal terbang kertas.
Pesawat kecil yang bersayap sepanjang satu meter dan dicipta oleh Steve Daniels, John Oates dan Lester Haines dengan kos cuma £8,000 (RM39,885) sekali gus jauh lebih murah berbanding harga sebuah roket.
Ia yang dilengkapi kamera video kecil dan sistem Perkhidmatan Paket Radio Umum (GPRS), dilancarkan ke udara dengan menggunakan sebuah belon berisi gas helium di kawasan pedalaman Sepanyol, kira-kira 80 kilometer dari bandar raya Madrid baru-baru ini.
Belon itu meletup pada altitud melebihi 27 kilometer menyebabkan kapal terbang kertas itu meluncur di udara sebelum mendarat kira-kira 160 kilometer dari lokasi pelancaran selepas dikesan dengan menggunakan perkhidmatan GPRS. - Agensi
No comments:
Post a Comment