Pages

Friday, November 12, 2010

Keganasan tak berpenghujung





SUDAH menjadi kelaziman bagi Joyce, setiap hari dia akan mencari kayu api berhampiran kawasan belukar untuk dijual sebagai sumber rezekinya.
Dia akan mengumpul lima ikat kayu api, bagaimanapun satu daripadanya akan dirampas bekas anggota pemberontak yang kini mempunyai pangkat dalam pasukan tentera negaranya.
"Saya terpaksa menyerahkannya kerana tidak mahu dirogol," katanya sambil mengendong anaknya. Joyce merupakan antara ribuan pelarian yang tinggal di kem Kitchanga, timur Republik Demokratik Congo (DRC).
Konflik yang berlaku di Congo bermula pada 1998 hingga 2003 dikenali sebagai Perang Dunia Afrika. Dianggarkan lebih lima juta penduduk maut akibat keganasan, kebuluran dan penyakit.
Joyce, merupakan salah seorang daripada 1.27 juta penduduk yang tidak dapat pulang ke kampung halaman akibat keganasan berterusan di timur negara itu.
Kehadiran ramai anggota pasukan keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta perjanjian Mac 2009 yang dimeterai sebelum itu langsung tidak mampu mengembalikan keamanan di negara tengah Afrika tersebut.
"Serangan terhadap orang awam semakin meningkat. Ia satu pencabulan terhadap hak asasi manusia yang berpunca daripada kelemahan dasar keselamatan," kata Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon, dalam satu laporan kepada Majlis Keselamatan baru-baru ini.
Terdapat pelbagai faktor ketidakstabilan politik di Congo dikenal pasti. Penganalisis menyalahkan kemiskinan, kegagalan Presiden Joseph Kabila menguatkuasakan undang-undang, kelemahan pasukan tentera, kehadiran kumpulan-kumpulan pemberontak dan pertempuran berterusan bagi mendapatkan sumber asli seperti arang batu, bijih timah serta emas.
Menurut Menteri Perlombongan, Martin Kabwelulu, larangan aktiviti perlombongan di timur Congo yang menjadi lokasi pengeskportan emas dan mineral serta penyumbang lima peratus kepada pasaran bijih timah dunia, gagal meningkatkan tahap keselamatan. Pencerobohan dan penyeludupan masih dilakukan tentera pemberontak.

TENTERA kerajaan Congo sentiasa berdepan tekanan dan ancaman kumpulan-kumpulan pemberontak.


Bahagian timur republik itu yang kaya dengan bahan mineral kini dikuasai puluhan kumpulan pemberontak bersenjata. Niat mereka hanyalah untuk mendapatkan kuasa, sumber pendapatan dan kekayaan sumber asli berbanding kecenderungan politik.
"Misi PBB untuk menstabilkan Congo (MONUSCO) adalah mustahil. Mereka perlu melindungi rakyat, tetapi pada masa yang sama tindakan memberi sokongan kepada tentera dilihat sebagai satu bentuk penindasan," kata Ketua Oxfam di Congo, Marcel Stoessel kepada Reuters.
Cabul hak asasi
Ki-Moon berkata, tentera telah merekrut kanak-kanak dan mencabul hak asasi manusia secara serius sehingga misi PBB terpaksa dihentikan dalam satu zon operasi.
Pasukan itu turut kehilangan beberapa kawasan kepada pemberontak Pasukan Pembebasan Demokratik Rwanda (FDLR), sebuah kumpulan etnik Hutu yang menentang pentadbiran kerajaan Rwanda.
Tambahnya, perjanjian damai menemui jalan buntu lalu menyebabkan reformasi ketenteraan tidak menjadi realiti. Lebih malang, percubaan menjalin kerjasama dengan pemimpin Kongres Kebangsaan Nkunda bagi Mempertahankan Rakyat (CNDP) yang menyokong puak Tutsi turut tergendala.
Operasi yang disokong PBB itu sepatutnya berakhir Mac lalu. Ia terpaksa dilanjutkan sekali lagi disebabkan konflik tersebut semakin banyak mengorbankan nyawa dengan sebahagian besarnya terjadi di daerah terpencil seperti kawasan hutan yang sukar dihubungkan melalui jalan darat.
"Dua tahun lalu, pelarian yang dipindahkan akibat konflik mudah dikesan, tetapi kini mereka mati tanpa diketahui," kata Stoessel.
Salah satu puncanya adalah keengganan serpihan pemberontak CNDP untuk berundur dari kawasan timur Congo. Situasi itu menyebabkan reformasi ketenteraan agak mustahil dilakukan sementara kebanyakan wilayah terus dilanda keganasan.
"Secara terang-terangan mereka masih mengutip cukai," kata salah seorang pegawai PBB yang memberitahu amalan mengutip cukai secara haram oleh CNDP masih berleluasa di sebelah timur.
Perjuangan CNDP untuk mengembalikan hak pelarian Tutsi Congo dan menewaskan FDLR tidak mungkin berlaku dalam masa terdekat.

ISU keganasan di Congo membawa lebih banyak masalah seperti kemiskinan, kebuluran dan malnutrisi kanak-kanak.


Menurut Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC), kira-kira 159,000 pelarian Congo yang berdaftar berada di negara-negara jiran seperti Rwanda, Uganda dan Burundi. Bagaimanapun, jumlah pelarian Tutsi tidak dihebahkan kepada umum.
Rwanda dan Uganda turut mempunyai pemimpin pemberontak dari Congo yang dikenakan tahanan dalam rumah. Situasi itu mnegukuhkan pendapat bahawa republik itu tidak mampu mengakhiri dilema berdarah itu.
Meskipun begitu, ada pihak yang menyarankan agar Rwanda seharusnya berunding dengan pemberontak FDLR yang terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai pada tahun 1994.
"Sebahagian besar rakyat mendesak kerajaan Rwanda supaya lebih tegas ketika berunding dengan FDLR," kata penganalisis politik, Jason Stearns, menggambarkan konflik di Congo sentiasa 'terbuka' kepada mana-mana pihak yang ingin mengekalkan kuasanya.
"Saya tidak fikir Rwanda sudah bersedia untuk berunding dengan FDLR," kata Duta China di Congo, Wu Zexian.
Kekejaman yang berlaku seolah-olah tidak berpenghujung. Contoh terbaru, tentera militan melakukan siri serangan mengejut di bandar Luvungi antara 30 Julai hingga 3 Ogos lalu.
Serangan itu menyebabkan seramai 303 orang wanita menjadi mangsa rogol askar-askar militan.
Bagi Kabila, keganasan berterusan melemahkan kredibilitinya selepas berjanji untuk membawa ketenteraman di wilayah berkenaan sebelum ini.
Disebabkan itu, penganalisis turut meragui usahanya untuk mengekalkan jawatan presiden menjelang pemilihan pada November tahun hadapan. - Reuters

No comments: