REMBAU: Bekas jaguh lumba basikal negara, Dawod@Daud Ibrahim, terbunuh selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan treler di Kilometer 232.6, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), awal pagi semalam. |
Dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, Dawod, 63, yang juga bekas jurulatih basikal kebangsaan mati di tempat kejadian kerana cedera parah di beberapa bahagian badan.
Kejadian dipercayai berlaku apabila Proton Saga dipandu mangsa dalam perjalanan pulang ke Muar, Johor, dilanggar dari belakang treler.
Anak ketiga mangsa, Mohd Firdaus, 27, berkata, bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika mereka berjumpa tengah hari kelmarin sebelum bapanya ke Kuala Lumpur kerana urusan perniagaan.
“Pada pertemuan Aidilfitri lalu, ayah berpesan supaya menjaga ibu tiri serta adik-beradik lain dengan baik dan tidak mahu ada perbalahan apabila dia tiada nanti.
“Saya menerima berita kejadian yang menimpa ayah jam 3 pagi selepas dimaklumkan polis Muar,” katanya ditemui di Rumah Mayat Hospital Tampin, semalam.
Turut melawat jenazah mangsa pelumba basikal serta sahabat handai termasuk jurulatih lumba basikal negara, Datuk Ng Joo Ngan. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Rani Jurah, 22, dan 13 anak serta tiga cucu.
Sementara itu Joo Ngan berkata, sepanjang mengenali Dawod sejak 40 tahun lalu, arwah seorang disegani serta disenangi termasuk di kalangan anak didik dan pemergiannya kehilangan kepada sukan lumba basikal negara.
Allahyarham membuat penyertaan sulungnya pada Sukan SEAP 1969 di Rangoon, mula menempa nama apabila meraih pingat emas dalam acara 1,600 meter di Sukan Asia pada 1970.
Setahun kemudian, Dawod menguasai acara lumba basikal apabila meraih lima pingat emas Sukan SEAP di Kuala Lumpur serta pernah mewakili negara ke Sukan Komanwel Ketujuh di Christcurch, New Zealand pada 1974 dan Sukan Olimpik 1972 di Munich.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom berkata berdasarkan siasatan awal, mangsa yang memandu seorang diri dan dalam perjalanan menghala ke selatan, terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler yang bergerak dalam arah sama.
No comments:
Post a Comment