Pages

Friday, November 12, 2010

Berlian merah jambu termahal


SEORANG model bergambar dengan berlian 24.78 karat semasa prebiu lelongan Sotheby di Geneva, kelmarin. - AFP


GENEVA 11 Nov. - Sebutir berlian berwarna merah jambu yang akan dilelong firma lelong Sotheby's minggu depan, mampu mencatat rekod dunia jika dijual setinggi AS$27 juta hingga AS$38 juta (RM86.4 juta hingga RM121.6 juta).
Permata seberat 24.78 karat yang disifatkan sebagai 'berlian merah jambu paling istimewa' itu, boleh menyaingi rekod jualan lelong firma Christie's yang pernah menjual berlian biru Wittelsbach-Graff seberat 35.56 karat dengan harga AS$24.3 juta (RM78 juta) pada 2008.
"Berlian ini tanpa diragui adalah permata paling berharga yang akan dilelong dalam tempoh beberapa tahun ini. Ia juga mendapat perhatian pembida," kata ketua bahagian barang kemas Sotheby's, David Bennett.
"Harga pasaran berlian adalah kira-kira AS$750,000 (RM2.4 juta) bagi satu karat. Harga itu juga belum termasuk komisen pelelong dan cukai jualan.
"Harga yang baik adalah AS$1 juta (RM3.2 juta) bagi satu karat. Saya rasa hanya seorang pembida akan membelinya," kata Martin Rapaport dari Diamond.Net, sebuah laman web yang menjadi sumber rujukan utama harga serta perdagangan berlian.
Beberapa faktor lain juga dilapor boleh meningkatkan harga berlian tersebut.
Pertama, ia mungkin disebabkan kecantikan luar biasa berlian selain jarang ditemui kerana permata tersebut tidak lagi berada dalam pasaran sejak dijual 60 tahun lalu oleh tukang emas New York, Harry Winston.
Tidak seperti berlian merah jambu lain, permata itu mempunyai potongan klasik batu zamrud dengan bahagian tepi yang bulat. - AP

No comments: