Pages

Sunday, October 24, 2010

Peneroka sempat pesan anak sebelum rentung


ABD. Aziz Hashim ditemui mati rentung dalam kereta yang dipandunya selepas terbakar berhampiran kebun sawit tanah rancangan rizab Felda Raja Alias 1, Jempol, semalam.

JEMPOL 23 Okt. – “Kakak bangun, nanti jaga adik baik-baik, ayah sudah hendak pergi.”
Itulah kata-kata terakhir seorang peneroka Felda kepada anak pertamanya, Noor Azira Abd. Aziz, 20, sebelum ditemui mati rentung akibat terperangkap dalam kenderaannya yang terbakar di sebuah kebun sawit tanah rancangan Felda Raja Alias 1 di sini pagi semalam.
Menurut Noor Azira, pesanan yang masih terngiang-ngiang di fikirannya itu membuatkan dirinya berasa lebih sedih atas pemergian bapanya, Abd. Aziz Hashim, 60.
Katanya, dia sempat bersalaman dan dicium oleh arwah bapanya itu sebelum menghantarnya ke kereta.
“Saya tidak menyangka pesanan pelik seperti menyuruh saya menjaga adik itu benar-benar dimaksudkan oleh arwah dan saya juga tidak percaya bahawa lambaian semasa menghantarnya ke kereta itu merupakan kali terakhir saya menatap wajahnya.
“Sebelum ini, arwah memang mesra, tetapi sudah lama tidak bermesra seperti itu,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan Abd. Aziz ditemui rentung selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum terbakar berhampiran kebun sawit tanah rancangan rizab Felda Raja Alias 1.
Mayat mangsa ditemui oleh penduduk setempat yang kebetulan terdengar letupan kuat sebelum mendapati sebuah kereta jenis Proton Iswara terbakar di kebun berkenaan.
Lebih malang, ketika ditemui, mayat Abd Aziz yang berada di bahagian pemandu itu sudah hangus di tempat kejadian yang terletak 1.5 kilometer dari jalan utama.
Abd Aziz meninggalkan seorang balu, Hamidah Mohd. Ariff, 44, dan tiga anak perempuan iaitu Noor Azira, Noor Azatul Azua, 15, dan Nor Ajahidatul Azwin, 12.
Sementara itu, Hamidah berkata, sejak sebulan lalu, arwah sering dilihat mendiamkan diri dan tidak banyak bercakap.
“Dua minggu sebelum kejadian, arwah sempat membelikan basikal untuk kegunaan anaknya ke sekolah. Saya tidak sangka perubahan sikapnya itu menjadi petanda dia mahu meninggalkan kami selama-lamanya,” ujarnya.utusan

No comments: