Pages

Sunday, October 24, 2010

Tembelang AS terdedah

LONDON: Penderaan terlampau kejam, pembunuhan orang awam dan warga Iran dalam perang Iraq diperincikan melalui hampir 400,000 dokumen tentera AS yang dipaparkan untuk umum di laman sesawang WikiLeaks, semalam.
Dalam tempoh lima tahun kempen perang AS di Iaq, pelbagai dakwaan kezaliman direkodkan tetapi kebanyakannya tidak diambil tindakan atau dihentikan.

Dokumen itu merangkumi data dari 1 Januari 2004 hingga 31 Disember 2009.

Pendedahan mengejutkan itu adalah kedua didedahkan WikiLeaks selepas laman sesawang sama memaparkan kira-kira 92,000 halaman laporan sulit mengenai operasi ketenteraan AS di Afghanistan baru-baru ini.

Pengasas WikiLeaks, Julian Assange, berkata dokumen terbaru itu menunjukkan bagaimana berbahayanya operasi perang di Iraq walaupun ia cuba disembunyikan.

“Dokumen ini menunjukkan hakikat berlaku dalam enam tahun perang di Iraq melalui pengalaman tentera - apa yang mereka lihat, apa yang dikatakan serta apa yang dilakukan,” katanya.
Menurut Assange, pendedahan itu menunjukkan jumlah kematian sebenar di Iraq lima kali lebih tinggi berbanding di Afghanistan.

Data rahsia itu juga menunjukkan, jumlah kematian warga Iraq dalam perang dan keganasan di negara itu jauh lebih tinggi berbanding diumumkan AS.

Dokumen rahsia itu disebarkan WikiLeaks kepada akhbar Guardian di Britain, New York Times, Le Monde (Perancis) and Der Spiegel (Jerman) beberapa minggu lalu.

Sejurus sebelum disiarkan di laman sesawang mereka untuk tempoh terhad, WikiLeaks menghantar mesej melalui Twitter kepada wartawan terpilih supaya mereka dapat membaca pendedahan itu.

Antara laporan dimuatkan, 95 tahanan Iraq - kebanyakannya dengan kesan dipukul - dikurung dalam bilik kecil dan dipaksa bersila dengan mata ditutup.

Laporan lain mendakwa, anggota keselamatan Iraq membelasah tahanan, selain wanita menjadi sasaran pembunuhan di pos keselamatan AS.

Akhbar Guardian melaporkan, AS gagal menyiasat ratusan aduan penganiayaan, termasuk pembunuhan, rogol dan penderaan oleh polis Iraq, selepas ia dikemukakan kepada mereka.

“Walaupun AS dan Britain mengaku tiada sebarang rekod mengenai kematian orang awam, dokumen dipaparkan ini menjadi bukti 66,081 orang awam terbunuh daripada 109,000 kematian dicatat,” lapor akhbar itu. - AFP

No comments: