Pages

Tuesday, October 19, 2010

Mogok di Perancis kian buruk



SEJUMLAH remaja merosakkan sebuah pondok telefon di Nanterre, Perancis semalam.


PARIS - Mogok di Perancis dilihat tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda apabila para pelajar sekolah tinggi semalam bertempur dengan anggota-anggota polis antirusuhan, pemandu trak menghalang jalan dan stesen minyak kehabisan bahan api.
Pelajar-pelajar itu menyertai protes kesatuan sekerja terhadap reformasi pemerintah yang mahu melanjutkan usia persaraan daripada 60 hingga 62 tahun.
Melanjutkan usia persaraan itu merupakan salah satu usaha untuk menangani masalah bajet defisit.
Cadangan untuk melanjutkan had umur persaraan itu dijangka diluluskan oleh Dewan Senat pada minggu ini.
Dalam protes semalam, anggota-anggota polis melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arah sekumpulan remaja yang membakar kenderaan dan merosakkan perhentian-perhentian bas.
Di luar kawasan sebuah sekolah di Combes-la-Ville, remaja-remaja itu melontar bom-bom petrol ke arah polis manakala seorang lelaki mengacukan raifal ke arah anggota-anggota pihak berkuasa.
Hampir 300 buah sekolah terjejas ekoran protes itu.
Bandar-bandar di seluruh Perancis turut menyaksikan pelajar-pelajar sekolah tinggi menyertai demonstrasi jalanan.
Mogok itu juga menyebabkan hampir separuh penerbangan dari dan ke lapangan terbang Paris Orly dibatalkan manakala 30 peratus penerbangan di Lapangan Terbang Roissy-Charles de Gaulle mungkin mengalami nasib yang sama.
Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy sibuk mengadakan mesyuarat untuk menangani masalah itu sebelum pemerintah mengumumkan bahawa ia mengaktifkan satu tindakan krisis kecemasan bagi mengekalkan bekalan minyak.
Sarkozy membuat keputusan itu ekoran 11 daripada 12 loji penapisan minyak ditutup akibat mogok.
Pembelian panik membuatkan jualan petrol melonjak sehingga 50 peratus pada minggu lalu.
Semalam, sekitar 1,500 stesen minyak sudah kehabisan bekalan.
Keputusan undian pendapat yang disiarkan akhbar Le Parisiensemalam menunjukkan 71 peratus responden menyatakan mereka menyatakan sokongan atau bersimpati dengan protes tersebut.
Parti pembangkang, Sosialis mengutuk Sarkozy dan Perdana Menteri, Francois Fillon kerana gagal untuk terlibat dalam dialog berhubung melanjutkan umur persaraan.
"Kami mempunyai Perdana Menteri yang menganggap dirinya Winston Churchill (bekas Perdana Menteri Britain pada era Perang Dunia Kedua) tetapi dia hanya Margaret Thatcher (bekas Perdana Menteri Britain yang digelar Wanita Besi)," kata pemimpin nombor dua parti itu, Harlem Desir. - AFPhttp://www.kosmo.com.my

No comments: