"KAU hendak pergi Kelantan, jangan lupa belikan batik yang cantik-cantik dan murah di sana." Permintaan ini biasa didengar apabila ada keluarga, saudara mahupun teman menyuarakan hasrat untuk berkunjung ke Kelantan.
Batik sinonim dengan Kelantan, selain makanan seperti laksam, nasi dagang, nasi kerabu dan pelbagai lagi jenis kuih yang unik dari segi nama dan rasa.
Boleh dikatakan setiap sudut di negeri itu terpamer perusahaan batik sekali gus memberi pelbagai nilai pilihan kepada pencinta batik.
Sekiranya tidak mempunyai masa, berkunjung ke lorong-lorong Pasar Siti Khadijah iaitu pusat beli-belah popular di Kelantan, boleh memudahkan seseorang memilih batik yang digemari.
Bukanlah suatu yang asing apabila terdengar suara peniaga di pasar itu dengan pelbagai nada memanggil pelanggan: "Wei adik manih... masuk masuk, mace-mace jenih ado, ado jenih lukis tange atau batik dari luar negaro pun ado..hargo muroh sikit." (Adik manis, masuk-masuk, macam-macam jenis ada, jenis lukis tangan atau batik dari luar negara pun ada, harga murah sedikit)
Tidak dinafikan bahawa usahawan batik di Kelantan ketika ini bersaing dengan lambakan batik dari negara luar seperti Thailand, Korea dan China.
Sejauh manakah lambakan batik dari negara luar ini memberi impak negatif kepada perusahaan batik Kelantan?
Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) Cawangan Kelantan, Khamis Yasim berkata, kesan yang dialami tidaklah sampai menjejaskan perusahaan batik Kelantan kerana batik Kelantan masih menjadi pilihan ramai.
"Kita tidak boleh halang kehadiran batik dari negara luar cuma apa yang kita boleh lakukan adalah mempertingkat promosi batik Kelantan," katanya.
Buat masa ini, Kelantan mempunyai 245 pengusaha batik yang aktif dalam bidang itu dan berdasarkan rekod, industri batik menyumbang sebanyak 80 peratus daripada hasil jualan kraf tradisional.
"Berdasarkan program promosi yang dilakukan Kraftangan Malaysia, hasil jualan seni kraf di Kelantan meningkat daripada RM5.62 juta pada tahun 2008 kepada RM6 juta tahun 2009 dengan batik menjadi penyumbang terbesar," katanya.
Ini memberi erti bahawa lambakan batik dari negara luar tidak menjejaskan industri batik Kelantan.
Keaslian dan keunikan
Masyhurnya batik Kelantan dari dalam hingga ke seluruh pelosok dunia, terletak pada kualiti yang menjadi pegangan setiap pengusaha batik Kelantan.
Justeru, Khamis berkata, persaingan daripada batik negara luar perlu diserang kembali dengan peningkatan dan penjagaan kualiti batik Kelantan yang merupakan identiti penting sekali gus membezakan batik dari negeri itu dengan Thailand, Korea dan China.
"Sebagai contoh, pengusaha batik Kelantan amat menitikberatkan pemilihan corak rekaan, motif, kain dan juga warna, kerana ingin menjaga kualiti batik yang dihasilkan. Malah, corak yang dihasilkan juga hanya ada satu dan tidak akan ada dua.
"Berlainan pula dengan batik dari Thailand, Korea dan China kerana corak yang mereka hasilkan semuanya sama. Kain yang digunakan pula adalah kain poliyster. Ia tidak selesa dipakai dan disebabkan itulah harganya murah," katanya.
Bantuan untuk usahawan
Bagi Kraftangan Malaysia, pelbagai usaha dilakukan untuk membantu usahawan industri kraf menjana pendapatan menarik sekali gus membina namasehingga ke arena antarabangsa.
Menurut Penolong Pengarah (Ketua Bahagian Pembangunan Usahawan) PKKM Cawangan Kelantan, Faizul Azha Ibrahim, khidmat nasihat, motivasi, promosi dan kursus perniagaan sentiasa diadakan bagi membantu usahawan industri kraf.
"Bukan saja batik tetapi untuk kesemua industri kraf. Kraftangan Malaysia membantu misalnya dari aspek penyediaan program pembangunan usahawan, skim inkubator, skim khidmat kraftangan ataupun program Satu Daerah Satu Industri (SDSI).
"Di Kelantan sahaja ada lapan projek di bawah SDSI. Misalnya di Kota Bharu, tumpuannya pada batik. Tumpat pula fokus pada barangan logam dan perak sementara Pasir Mas pada anyaman rotan.
"Selain itu, Karyawan Malaysia juga ada memberi bantuan dari sudut prasarana dan mesin selain membawa usahawan menyertai mana-mana promosi seperti Hari Kraf Kebangsaan, atau yang terbaru, promosi Kraf Tekstil 2010 yang berlangsung pada 13 hingga 25 Oktober ini," katanya.
Identiti sendiri
Bagi pengusaha batik di Jalan Kuala Krai, Ketereh, Kelantan, Mat Kamal Abdullah, situasi lambakan batik negara luar tidak dilihat sebagai satu permasalahan. Menurutnya, majoriti pelanggan tetap mengunjungi kedainya untuk mendapatkan kain batik yang digunakan untuk koleksi busana mereka.
Kamal yang mengusahakan MasKamal Batik & Trading hasil gabungan nama isterinya, Che Mastura Ismail, meletakkan kepuasan hati pelanggan sebagai puncak segala urusan perniagaan mereka.
"Tidak jadi masalah dengan lambakan batik dari negara luar kerana MasKamal Batik ada identiti tersendiri.
"Warna yang kami gunakan memang berbeza setiap kali kerana ia bergantung pada permintaan pelanggan hari ini yang lebih menyukai warna lembut. Kalau dulu, warna garang jadi pilihan.
"Corak yang kami gunakan pula lebih ke arah gabungan seperti bunga, tumbuhan liar darat dan tumbuhan liar laut. Inilah identiti MasKamal Batik & Trading," katanya.
Tambahnya, perusahaan batik merupakan perniagaan yang menguntungkan apatah lagi apabila berpeluang menyertai promosi di bawah Kraftangan Malaysia. Hasil jualannya pernah mencecah hingga RM60,000 ketika mengikuti program tersebut.
"Batik suatu produk seni yang unik dan kepuasan menghasilkannya sangat bernilai," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment