Pages

Friday, October 15, 2010

Menjerit sebelum rentung


  ANGGOTA bomba mengeluarkan sebahagian daripada enam  mangsa  rentung dalam kemalangan  di Kilometer 30.1 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, di Kampar, awal pagi semalam. Gambar kecil, mangsa dari kiri,   Yap Hing Long,   Tong Wai Leong,  Lim Ka Wai,  Foo Siew Ling dan  Wong Chee Keong.
ANGGOTA bomba mengeluarkan sebahagian daripada enam mangsa rentung dalam kemalangan di Kilometer 30.1 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, di Kampar, awal pagi semalam. Gambar kecil, mangsa dari kiri, Yap Hing Long, Tong Wai Leong, Lim Ka Wai, Foo Siew Ling dan Wong Chee Keong.


Saksi dengar rintihan mangsa minta tolong, nahas ragut 6 nyawa 

KAMPAR: "Saya lihat pemandu itu menghulurkan tangannya keluar dari kereta sambil melambai-lambai meminta tolong. Saya juga terdengar jeritan seorang mangsa meminta pertolongan.“Dalam keadaan cemas itu, saya dan beberapa penduduk kampung hanya sempat mengeluarkan seorang mangsa wanita berusia lingkungan 20-an sebelum api mula marak ke seluruh bahagian kereta mereka,” kata Shahari Ishak, 64, saksi kejadian kemalangan yang meragut enam nyawa di Kilometer 30.1, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini, awal pagi semalam.Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, lima termasuk pemandu rentung dan mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa yang berjaya ditarik keluar orang ramai ketika kereta itu mulai terbakar, meninggal dunia Hospital Kampar (HK), kira-kira tiga jam kemudian. 

Mangsa yang mati di tempat kejadian ialah pemandu, Lim Ka Wai, 20; Tong Wai Leong, 18; Yap Hing Long, 20; Wong Chee Keong, 23, serta seorang wanita, Soo Poi Wan, 18, manakala seorang lagi wanita, Foo Siew Ling, 23, mati di HK pada jam 4.50 pagi akibat cedera di bahu, tangan dan rusuk kanan badan. 

Kemalangan berlaku apabila kereta dinaiki enam sahabat itu terbabas lalu terbakar selepas merempuh dua pokok di Kilometer 30.1, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh di Kuala Dipang di sini. 

Semua mangsa termasuk sepasang suami isteri yang turut terbunuh dipercayai dalam perjalanan ke Ipoh selepas selesai menghadiri jamuan perkahwinan pasangan terbabit di sebuah restoran di pekan Kampar. 
Menceritakan detik cemas itu, Shahari berkata, selepas api marak mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana mangsa sukar dikeluarkan apabila tersepit di dalam kereta, selain bimbang kemungkinan kereta meletup hingga boleh mengancam nyawa mereka sendiri. 

Katanya, dia menyedari kejadian itu selepas terdengar dentuman kuat di luar rumah jam 1.30 pagi, ketika baru mahu melelapkan mata selepas menonton televisyen. 

"Pada mulanya saya tidak menghiraukan bunyi itu kerana menyangka ia bunyi lori, tetapi menjengah tingkap apabila terdengar suara orang ramai memekik seperti berlaku sesuatu. 

"Saya dapati orang ramai berada di jalan utama di hadapan rumah saya. Tanpa membuang masa, saya bergegas berlari ke jalan. 

"Saya bersama orang ramai membantu mangsa, tetapi terkilan kerana hanya dapat mengeluarkan seorang daripada mereka," katanya. 

Shahari berkata, lokasi kemalangan itu digelar penduduk sebagai 'laluan maut' kerana kerap berlaku kecelakaan sejak beberapa tahun lalu, dipercayai berpunca jalan gelap tiada lampu jalan. 

No comments: