sumber
ISLAMABAD 14 Okt. - Banjir buruk baru-baru ini menyebabkan Pakistan mengalami kerugian ditaksirkan berjumlah AS$9.5 bilion (RM30.4 bilion) akibat kerosakan infrastruktur, sektor pertanian dan sektor lain di negara ini.
Anggaran tersebut dikemukakan oleh Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Bank Dunia dengan kerjasama kerajaan Pakistan.
Kerugian sebesar itu memperlihatkan cabaran kewangan yang dihadapi oleh Pakistan, sekutu utama Amerika Syarikat (AS) dalam memerangi pemberontak Taliban dan sudah pun bergantung kepada pinjaman antarabangsa sebelum dilanda banjir.
Walaupun negara lain termasuk AS sudah menyumbangkan berjuta-juta dolar untuk operasi bantuan, mereka juga memberi amaran kepada Pakistan mereka tidak mungkin menanggung seluruh kos pemulihan dan pembangunan semula yang dianggarkan boleh mencapai lebih AS$40 bilion (RM128 bilion).
Pegawai AS khususnya menggesa Pakistan memperbaiki sistem pungutan cukainya yang lemah bagi membantu membiayai program pembangunan semula jangka panjang.
Angka AS$9.5 bilion itu hanya meliputi nilai semasa bagi jalan, bangunan, sistem saliran dan sektor lain yang ditaksirkan di seluruh negara, bukan kos untuk membinanya semula, kata seorang pegawai kerajaan semalam.
Kos pembinaan semula akan bergantung kepada projek-projek yang dipilih untuk dilaksanakan oleh kerajaan dan sama ada kerajaan mahu membinanya semula dengan cara yang sama atau dengan lebih baik, kata pegawai itu.
Banjir terburuk dalam sejarah Pakistan itu bermula pada akhir Julai lalu semasa hujan monsun yang sangat lebat, akhirnya melanda satu per lima kawasan negara ini dan menjejaskan kehidupan kira-kira 20 juta daripada 175 juta penduduknya.
Hampir 2,000 orang terbunuh manakala berjuta-juta lagi hilang tempat tinggal, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - AP
No comments:
Post a Comment