2010/09/24
Wasiat, pelantikan wasi mampu selesai isu berbangkitPENYAKIT barah paru-paru dideritai Imran (bukan nama sebenar) sejak dua tahun yang lalu merampas kebahagiaan keluarganya. Kini, Imran di hospital untuk menjalani rawatan membunuh sel barah yang semakin hari semakin tegar.
Tahap kesihatannya juga semakin merosot membuatkan beliau teringat wasiat disediakan AmanahRaya kira-kira dua tahun lalu tetapi ia hanyalah wasiat asas mempunyai klausa penting yang mana beliau melantik AmanahRaya sebagai wasi dan pembahagian harta mengikut hukum faraid.
Dua anak Imran, Fahim dan Suraya (juga bukan nama sebenar) sedang belajar di luar negara. Hanya isterinya Suzana (bukan nama sebenar) yang setia bersamanya setiap masa. Justeru, bagi Imran, tiada sesiapa berhak mewarisi hartanya kecuali isteri dan anaknya.
Walaupun masih mempunyai bapa dan adik beradik Imran sudah lama memutuskan perhubungan kekeluargaan dengan mereka. Dia tidak boleh lupa peristiwa bapanya membuangnya dan tidak pernah sekali menganggap dirinya sebagai anak.
Selepas dua tahun menderita, Imran akhirnya dipanggil Penciptanya. Selepas kematian Imran, Suzana berkunjung ke AmanahRaya untuk membuat permohonan Pentadbiran Pusaka Berwasiat.
Suzana juga memaklumkan mengenai Imran menghibahkan sebuah rumah banglo mewah di Petaling Jaya dan rumah itu didaftarkan atas nama Fahim, ketika hayatnya. Selain itu, Imrah berhasrat menghibahkan rumah dibelinya kepada Suraya, tetapi gagal melakukannya kerana anaknya itu belum mencapai umur 18 tahun ketika itu.
AmanahRaya memaklumkan jika itu benar, rumah banglo berkenaan tidak termasuk dalam senarai harta pusaka kerana sudah dipindahmilik kepada Fahim sebelum kematian Imran, manakala hibah Imran kepada Suraya adalah secara lisan.
Suzana menyatakan hasrat untuk menuntut harta sepencarian daripada harta pusaka arwah Imran dan tahu hak beliau adalah 1/8 daripada pusaka suaminya mengikut hukum faraid.
Perkara pertama dilakukan AmanahRaya sebagai wasi adalah mendapatkan Geran Probet (surat kuasa dikeluarkan Mahkamah Tinggi kepada wasi untuk mentadbir harta pusaka berwasiat) daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Ini bagi membolehkan hartanah simati didaftar wakil (proses turun milik hartanah daripada nama simati kepada AmanahRaya sebelum dipindahmilik kepada waris yang berhak) dan juga semua harta alih arwah diperhasilkan dan dimasukkan dalam akaun pusaka simati di AmanahRaya.
Harta alih termasuk wang tunai, wang simpanan, saham, barang kemas, peralatan rumah, kenderaan seperti kereta atau motosikal, pakaian, caruman KWSP, insurans, takaful dan hutang orang kepada simati.
Pembahagian harta pusaka terpaksa ditangguhkan sehingga Suzana mendapat perintah pengesahan hibah dan harta sepencarian daripada Mahkamah Tinggi Syariah untuk diselesaikan terlebih dulu sebelum harta pusaka diagihkan menurut wasiat.
Pada masa sama, Suzana perlu mendapatkan sijil faraid daripada Mahkamah Syariah kerana wasiat Imran supaya pembahagian harta pusakanya dibahagikan mengikut hukum faraid. Ini bermakna ayah Imran turut berhak dan Suzana tidak bersetuju.
AmanahRaya menjelaskan, pihaknya tidak boleh dan tidak sekali-kali mengenepikan hak bapa simati terhadap harta pusakanya kerana persengketaan keluarga. Tanggungjawab AmanahRaya untuk menjaga kepentingan waris yang berhak dalam apa juga keadaan.
Bapa Imran, Farouk (bukan nama sebenar) walaupun tidak pernah mengambil kisah kehidupan anaknya, tetap ingin menuntut harta pusaka dan tidak akan membuat sebarang penolakan terhadap bahagiannya.
Farouk yang dimaklumkan mengenai perintah pengesahan hibah dan harta sepencarian yang dipohon Suzana daripada Mahkamah Syariah tidak bersetuju malah melantik peguam bagi memastikan permohonan itu gagal.
Setelah beberapa kali prosiding pengesahan hibah dan tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah, Farouk terpaksa akur nasihat pegawai AmanahRaya bahawa kes ini tidak akan selesai dalam tempoh singkat.
Bagi menyelesaikan masalah, AmanahRaya mencadangkan penyelesaian secara pakatan keluarga iaitu waris bersetuju cara pembahagian diputuskan bersama tanpa menurut hak faraid.
Selepas beberapa kali berbincang, kedua-dua menantu dan bapa mentua akhirnya bersetuju pengagihan wang tunai daripada harta pusaka diselesaikan segera melalui surat izin pakatan keluarga antara mereka.
Farouk bersetuju menerima RM60,000 tanpa membuat tuntutan lain terhadap hartanah Imran. Suzana juga bersetuju menarik balik permohonan pengesahan hibah dan harta sepencarian. Semua pihak bersetuju rumah dibeli arwah Imran untuk dihibahkan kepada anak perempuannya, Suraya, dipindahmilik kepadanya.
Tiada tuntutan lain oleh bapa simati, anak lelakinya (Fahim) dan juga isteri (Suzana) terhadap hartanah itu. Baki harta pusaka simati diagihkan mengikut pakatan keluarga yang disahkan Mahkamah Syariah.
AmanahRaya sebagai wasi melaksanakan pindah milik hartanah dan pengagihan semua harta pusaka simati kepada waris yang berhak. AmanahRaya bukan saja menjadi wasi, tetapi turut memikul tanggungjawab sosial menyatukan dan mendamaikan pertelingkahan berlaku antara waris simati.
Ahli keluarga arwah Imran akhirnya berpuas hati dengan pentadbiran harta pusaka simati. Suzana bersyukur kepada Allah kerana Imran membuat perancangan harta pusaka melalui dokumen wasiat dan melantik AmanahRaya sebagai wasi bagi mengurus dan mentadbir harta pusakanya.
Penyelesaian kes ini memberikan tanda aras bahawa dengan adanya wasiat dan perlantikan AmanahRaya sebagai wasi, segala isu berbangkit mengenai hibah serta harta sepencarian dapat diselesaikan dengan mudah melalui persetujuan bersama antara ahli keluarga.
Kesimpulan:
- Dokumen wasiat adalah salah satu instrumen perancangan pewarisan yang memberi panduan kepada waris mengenai keinginan serta hasrat pewasiat yang perlu dihormati walaupun ada kalanya tidak dapat diterima sebilangan waris seperti berlaku pada bapa dan isteri Imran.
- Peranan dan tanggungjawab wasi yang dipikul AmanahRaya antaranya tidak berat sebelah dan tidak hanya berpihak kepada satu pihak, berlaku adil, amanah dan tidak melepaskan hak waris atau mengikut kemahuan waris.
- Jika berhasrat untuk membuat hibah, sebaik-baiknya dibuat secara bertulis bagi memastikan hibah dapat dilindungi dan dilaksanakan berdasarkan kehendak dinyatakan. Hibah lisan perlu dikuatkuasakan melalui perintah mahkamah di Mahkamah Syariah.
- Kaedah terbaik menangani dan mentadbir pusaka berwasiat atau pusaka tidak berwasiat adalah untuk bersepakat dalam membuat keputusan bagi mencapai matlamat iaitu memastikan pusaka ditinggalkan dapat dimanfaatkan secepat dan sebaik mungkin oleh waris.
1 comment:
Assalamualaikum...
Elakkan diri dari menjadi 'Caca-Marba' atau penampilan 'Serabai Tauge' dgn memberi perhatian kepada penjagaan kesihatan sebaiknya:
Penjagaan Kesihatan Cara Betul
atau yg bermasalah penyakit kulit dan rasa sukar memulihkannya, boleh segera dapatkan bekalan di:
Rawatan Menghapuskan kuman, lendir, kahak dan kotoran perosak kulit
Semoga info ni dpt membantu memberi kehidupan dgn sinar kesihatan. Tq.
Post a Comment