2010/10/01
ANKARA: Kerajaan Turki merampas kapal layar negara yang pernah menjadi milik Kemal Ataturk, pengasas Turki moden, selepas laporan media bahawa satu rangkaian penjenayah menggunakan kapal itu untuk mengadakan parti seks bersama pelacur. Lapan wanita dan dua gadis bawah umur, semuanya dipercayai pelacur, dibawa untuk pemeriksaan kesihatan selepas pihak berkuasa di bandar Mediterranean di Antalya merampas kapal layar Savarona sepanjang 136 meter, lapor agensi berita Anatolia.
Sepuluh orang terbabit masih ditahan, katanya. Kapal Savarona itu dipajak kepada seorang ahli perniagaan oleh Kementerian Kewangan.
Saya memberi arahan sewajarnya untuk pembatalan pajakan kapal itu, kata Menteri Kewangan Turki, Mehmet Simsek kepada Anatolian, menambah bahawa Kementerian Kebudayaan kini perlu mengambil pemilikan kapal terbabit.
Jika syarikat tidak bersetuju dengan pembatalan lesen kapal itu, kami akan membawa kes itu ke mahkamah dan berusaha membatalkannya menggunakan keputusan mahkamah, katanya.
Anatolia melaporkan, ketua sindiket pelacuran mengenakan bayaran antara AS$3,000 hingga AS$10,000 (RM9,267 hingga RM30,890) kepada pelanggan untuk bayaran bermalam dengan pelacur yang datang dari Russia dan Ukraine.
Ataturk, seorang hero perang yang mengasaskan Turki selepas kehancuran empayar Uthmaniyah adalah individu paling dihormati di Turki. Patung dan potret wira negara itu berada di merata tempat dan penghinaan ke atas dirinya boleh dikenakan hukuman penjara.
Turki membeli Savarona pada 1938 dan Ataturk menghabiskan masa beberapa minggu di atas kapal layar itu namun meninggal dunia lewat tahun itu.
Mehmet Sevigen, seorang anggota parlimen dari parti pembangkang CHP diasaskan Ataturk, berkata Kementerian Kebudayaan perlu menjadikan kapal layar itu sebuah muzium secepat mungkin.
Skandal pelacuran di atas kapal itu adalah penghinaan besar terhadap Ataturk, kata Sevigen. Agensi
No comments:
Post a Comment