Pages

Friday, October 1, 2010

Hindu dapat dua pertiga kawasan sekitar Masjid Babri




2010/10/01

PENDUDUK Hindu dan Muslim mengadakan perarakan secara aman sambil melaung slogan Hindu Muslim bhai-bhai (Hindu Muslim adik beradik) di Hyderabad sebelum mahkamah memutuskan pemilihan kawasan sekitar masjid Babri, semalam.
PENDUDUK Hindu dan Muslim mengadakan perarakan secara aman sambil melaung slogan Hindu Muslim bhai-bhai (Hindu Muslim adik beradik) di Hyderabad sebelum mahkamah memutuskan pemilihan kawasan sekitar masjid Babri, semalam.
Mahkamah peruntuk satu pertiga sekitar kawasan tuntutan kepada Muslim di Ayodhya

LUCKNOW: Mahkamah India memutuskan semalam untuk membahagikan pemilikan kawasan tapak suci menempatkan Masjid Babri yang mencetuskan rusuhan berdarah di seluruh negara itu sebelum ini antara penduduk Hindu dan Islam.

Bagaimanapun, pemimpin masyarakat Islam menyatakan, mereka akan merayu keputusan kes membabitkan isu 60 tahun itu kepada Mahkamah Tinggi.
Penduduk Islam menganggap perkarangan di Ayodhya sebagai tapak Masjid Babri kurun ke-16 yang kini musnah, sementara penduduk Hindu mendakwanya sebagai tempat kelahiran dewa Rama.
Mahkamah Tinggi Allahabad memutuskan tapak seluas 25 hektar itu perlu dipecahkan, dengan masyarakat Islam mendapat kawalan satu pertiga dan dua kumpulan Hindu diberi bakinya, kata Ravi Shankar Prasad, peguam satu daripada pihak yang membuat tuntutan.

Penduduk Hindu akan mendapat kawasan meliputi sebuah kuil khemah kecil yang dibina untuk memuja Rama di tengah Masjid Babri.

Majoriti memutuskan lokasi kuil buatan itu adalah tempat kelahiran Rama dan tempat itu tidak boleh dialihkan, katanya.

Mahkamah turut memutuskan status terkini tapak itu perlu diteruskan untuk tempoh tiga bulan akan datang bagi membenarkan kawasan itu diukur dan dibahagikan secara aman, katanya.
Tetapi, Zaffaryab Jilani, peguam mewakili penduduk Islam, berkata beliau akan merayu keputusan itu, yang mungkin melambatkan keputusan muktamad kes yang memakan masa bertahun-tahun.

Tiada pihak yang menang atau kalah. Ia adalah satu kemajuan. Kami harap perkara ini dapat diselesaikan, katanya.

Konflik berhubung perkarangan di Ayodhya, 550 kilometer timur New Delhi, mencetuskan keganasan antara penduduk Hindu dan Islam yang mengorbankan beribu-ribu penduduk dan mencabar sistem moral India sebagai negara sekular serta demokrasi pelbagai budaya.

Kerajaan dan pihak bertelingkah merayu semua pihak bertenang selepas keputusan itu diumumkan. Bagi memastikan keadaan terus aman, pihak berkuasa menempatkan beribu-ribu lagi anggota keselamatan.

Polis menahan lebih 10,000 orang bagi menghalang mereka daripada mencetuskan keganasan, sementara 100,000 lagi perlu menandatangani afidavit mengatakan mereka tidak akan menimbulkan masalah selepas keputusan itu diumumkan, kata seorang pegawai atasan. AP

No comments: