Pages

Wednesday, September 1, 2010

Vatican marah syor Islam agama Eropah



ROME: Seorang pegawai kanan Vatican mengkritik pemimpin Libya, Muammar Gaddafi selepas ketua negara itu dilaporkan menggesa supaya Islam menjadi agama untuk semua penduduk Eropah.
Ketua Paderi, Robert Sarah, juga menyifatkan saranan itu perbuatan tidak menghormati ketua penganut Kristian, Pope dan masyarakat Katolik di Itali.
Cadangan beliau kepada semua penduduk Eropah memeluk Islam tidak masuk akal kerana hanya mereka saja yang boleh memutuskan untuk menganuti ajaran Kristian, Islam atau agama lain, kata Sarah kepada akhbar La Repubblica, semalam.
Gaddafi membuat kenyataan dianggap kontroversi itu Ahad lalu di hadapan 500 wanita Itali yang membayar yuran untuk menghadiri syarahannya.
Beliau dalam rangka lawatan rasmi ke Rome bagi menyambut ulang tahun ke-2 perjanjian persahabatan dengan Itali, bekas penjajah Libya.
Seorang wanita yang mendengar syarahan itu menjelaskan, Gaddafi berkata, Islam patut menjadi agama untuk semua penduduk Ero-pah dan Islam agama terakhir dan jika kita perlu menjadi penganut satu ajaran, ia semestinya yang dibawa (Nabi) Muhammad.
Sarah yang juga Setiausaha Vatican bagi Perhimpunan Dakwah Masyarakat, turut mengakui beliau tidak berasa terlalu gusar dengan kenyataan Gaddafi.
Beliau menyifatkan pandangan Gaddafi sebagai tindakan provokasi yang tidak diundang serta tidak serius.
Katanya, ancaman sebenar terhadap penduduk Eropah ialah kurangnya perhatian mereka kepada agama dan sikap tidak peduli kepada sesuatu yang suci.
Itulah faktor yang menjadi musuh utama agama kita yang boleh menjadi punca Islam masuk ke seluruh Eropah, tegasnya.
Sarah juga risau dengan kurangnya tolak ansur di antara negara Islam dengan Barat membabitkan masalah kebebasan agama di kawasan penduduk Muslim.
Gaddafi mencetuskan kontroversi Isnin lalu apabila meminta Kesatuan Eropah membayar negaranya lima juta euro (RM20 juta) untuk Libya menyekat penghijrahan haram ke Eropah. AFP
Sumber : Bharian.com.my

No comments: