TARIKH 11 hingga 16 Jun lalu merupakan saat yang paling meninggalkan kesan paling mendalam dalam jiwa pelakon dan pelawak Saiful Apek apabila dia disumbat ke lokap kerana disyaki terbabit dalam kes dadah.
Bapa kepada dua anak ini mendakwa berasa trauma akibat penahanan tersebut kerana terpaksa berada dalam penjara selama lima hari sambil dia menafikan tidak terbabit dalam gejala yang tidak bermoral itu.
Malah, pelakon filem Jutawan Fakiritu juga berkata, dia kesal dengan penahanan itu dan pernah mengambil keputusan bersara daripada berlakon kerana malu dengan insiden tersebut.
"Saya berasa trauma selepas ditangkap. Perasaan itu masih ada sampai sekarang. Semasa balik rumah selepas penahanan itu, hendak tengok tilam pun rasa takut. Rasa hendak tidur atas lantai sahaja.
"Ketika itu, saya sudah tidak melihat peminat, kawan-kawan ataupun wartawan. Apa yang saya nampak hanyalah anak-anak saya sahaja. Pernah saya rasa hendak bersara sahaja daripada berlakon kerana malu atas insiden itu.
"Mujur ramai orang di sekeliling yang memberi semangat kepada saya termasuklah Prof. A. Razak Mohaideen," katanya semasa ditemui selepas pratonton filem terbarunya, 4 Madu di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Pelakon berusia 41 tahun itu bukan sahaja berasa malu, trauma dan sedih dengan kejadian yang menimpanya itu, tetapi turut pernah merasakan dia tidak mampu untuk berdepan dengan masyarakat.
Saiful yang bergelar pelakon dan pelawak sejak 15 tahun lalu juga merasakan dia sering menjadi perhatian peminat dan sentiasa terdedah dengan pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan atas popularitinya.
"Apabila ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes itu saya terasa seolah-olah berada di zaman kesultanan Melayu Melaka ratusan tahun dulu. Ia mengingatkan saya kepada Hang Tuah yang menjadi mangsa fitnah di istana ketika itu.
"Namun, dalam kes itu muncul Bendahara yang menyelamatkan Hang Tuah daripada menjadi mangsa fitnah. Tetapi dalam kes saya ini, manakah perginya 'bendahara' yang boleh menolong saya," soalnya.
Selain trauma dan hingga pernah mengambil keputusan bersara daripada berlakon, dia juga terpaksa berdepan dengan keluarga terutamanya dua anaknya iaitu M Riyadh Aslam, 15, dan M Radzin Aiman, 12.
Kata pemilik nama sebenar Saiful Azam Yusof itu, kesan yang sama turut dirasai oleh dua anak lelakinya itu tetapi mujurlah mereka memahami keadaan yang menimpanya itu selain terus memberi sokongan moral kepadanya.
"Anak saya sampai bergaduh di sekolah kerana membela saya dan mengatakan saya tidak bersalah dalam kes itu. Ramai kawan anak-anak saya yang bersekolah di Sekolah Menengah USJ4 Subang Jaya mengutuk saya.
"Saya sendiri juga berasa takut untuk berdepan dengan keadaan itu. Tiga hari selepas dibebaskan daripada lokap saya muncul di sekolah anak-anak saya belajar dan terasa gugup sangat. Mujurlah anak-anak menyebelahi saya," tuturnya.
Bukan mudah buat Saiful untuk menerangkan kepada keluarganya insiden yang tidak dijangka berlaku dalam hidupnya.
Paling dirisaukan ialah ibunya, Rahmah Ayub, 56, yang bimbang dan sukar mempercayai insiden yang mencalarkan nama baiknya sebagai pelakon popular selama ini.
"Selepas bebas dari lokap saya terus berjumpa ibu dan melutut di depannya. Mungkin selama ini saya sibuk berlakon sehingga tidak banyak masa bersama keluarga. Insiden itu mendekatkan saya dengan keluarga.
"Saya mengambil masa tiga minggu untuk pulih daripada trauma ini. Tanpa sokongan anak-anak dan keluarga, saya rasa kurang yakin untuk meneruskan kehidupan seperti dulu," katanya yang akan menyambut lebaran di rumah mertuanya di Tanjong Karang, Selangor.
No comments:
Post a Comment