LIMA tahun menjadi anak seni sebenarnya sudah cukup mematangkan figura yang pernah mencetuskan fenomena luar biasa ini.
Dia cukup sedar dan berulang kali dia mengingatkan dirinya bahawa apa yang dimiliki hari ini semuanya adalah nikmat sementara yang diberi oleh Allah SWT.
Jauh sekali untuk mendabik dada mahupun membangga diri dengan kedudukannya, Mawi lebih selesa bersikap sederhana dalam segala aspek.
Katanya, perjalanan yang dilaluinya sebenarnya masih lagi jauh. Sebagai anak seni, jelas Mawi, masih banyak lagi yang perlu dipelajarinya.
"Kalau hendak kata tentang ilmu, memang ia tidak akan pernah habis. Selagi saya hidup, selagi itulah saya mahu terus mencari ilmu baik untuk duniawi mahupun bekalan di akhirat.
"Sepanjang saya hidup, ia merupakan proses yang cukup panjang bagi saya menilai diri saya dan seterusnya memperbaiki segala kelemahan yang ada," jelasnya dalam nada penuh merendah diri.
Mawi berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan pratonton drama pertama arahannya, Pak Nil...Ibu Kirim Salam di kediamannya di Bangi Golf Resort, Bangi, Selangor baru-baru ini.
Begitu juga dengan impian dan harapan sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-29 pada 25 Ogos lalu.
Tiada lain yang dimahukan Mawi selain bermohon kepada Allah untuk terus memberikannya kesihatan tubuh badan agar dia mampu mencari serta mendalami ilmu seperti mana yang dimahukan.
"Selepas lima tahun, saya mendapati hidup saya semakin tenang dan dapat meluangkan banyak masa yang sebelum ini tidak pernah saya dapat.
"Alhamdulillah, saya dan isteri tidak lagi diganggu dengan surat-surat kecaman dan kebencian yang banyak kami terima sebelum ini," ujar pria yang cukup masyhur dengan lagu Aduh Salihaitu sambil ketawa.
Mengenai cahaya mata pula, Mawi memberitahu, dia hanya berserah kepada takdir dan ketentuan Allah untuk memberinya dan Ekin zuriat mereka sendiri.
Lebih-lebih lagi selepas Ekin mengalami keguguran sebanyak dua kali, Mawi tidak mahu terburu-buru.
Sempat juga diusik apakah pemberian istimewa yang dihadiahkan isteri tercinta sempena hari lahirnya tahun ini.
Sambil ketawa seraya Mawi menjawab: "Dia hadiahkan saya set permainan video, Xbox yang sudah lama saya idamkan. Bukan tidak boleh beli sendiri, cuma masa tidak mengizinkan. Kebetulan juga, set itu sudah kehabisan stok ketika saya ke kedai yang menjualnya.
"Memang seronoklah apabila mendapat hadiah itu kerana saya sendiri memang seorang yang gilakan permainan video. Setakat ini, saya sudah ada tiga set dari jenama PlayStation."
Jelas empunya nama penuh Asmawi Ani itu lagi, tempoh lima tahun yang dilaluinya banyak membuka mata untuk meneroka bidang baru yang sebelum ini tidak pernah difikirkan.
Anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu memberitahu, dia banyak membuat pemerhatian dan belajar untuk menjadi seorang anak seni yang memiliki bakat yang pelbagai.
No comments:
Post a Comment