Pages

Wednesday, September 1, 2010

Banjir di Pakistan mula surut



LELAKI Pakistan gigih meredah banjir sambil mengendong barang di bahu kanan dan bayinya di tangan kiri di Sujawal, selatan negeri Sindh, kelmarin. - AFP


KARACHI 31 Ogos - Banjir yang memusnahkan sebahagian besar Pakistan selama lima minggu, mula surut ke Laut Arab hari ini selepas membanjiri dua bandar malam tadi, namun cabaran untuk memberikan bantuan kecemasan kepada lapan juta mangsa banjir masih belum berakhir.
Paras air mula surut di kawasan pergunungan di barat laut Pakistan, selepas menenggelamkan dan menjejaskan satu per lima negara ini.
Banjir juga semakin reda di utara dan Punjab, namun beberapa bandar di selatan wilayah Sindh berhampiran Sungai Indus, masih ditenggelami air sejak 10 hari lalu.
Skala bencana tersebut menimbulkan kebimbangan tentang kestabilan Pakistan, sebuah negara senjata nuklear yang sedang berhadapan ancaman al-Qaeda, keganasan Taliban dan masalah ekonomi.
Pegawai kerajaan, Hadi Bakhsh berkata, dua bandar terakhir Khahre Jamali dan Jati dilanda banjir malam tadi.
"Semua penduduk di bandar itu telah berpindah selepas ia ditenggelami air setinggi tiga meter," katanya.
Pihak berkuasa masih berhadapan kesukaran mengagihkan makanan, menguruskan tempat perlindungan serta bantuan perubatan bagi mangsa yang terselamat.
Negara-negara asing dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilihat lambat memberi respons terhadap bencana tersebut, sebahagiannya disebabkan masa yang panjang sebelum paras banjir surut.
Bantuan kecemasan yang diangkut menggunakan helikopter tentera, jalan raya dan bot juga lewat tiba di kawasan terjejas teruk, namun berjuta-juta mangsa banjir hanya mendapat sedikit atau langsung tidak menerima bantuan.
PBB dalam pada itu memberi amaran, Pakistan memerlukan pembiayaan tambahan untuk bantuan makanan yang sangat diperlukan bagi menjamin bekalannya bulan depan. - AP

No comments: